PUTRAJAYA: Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor bersetuju menyelesaikan urusan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor dalam tempoh 60 hari dengan menghidupkan kembali Perjanjian Induk. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali semalam untuk menyelesaikan isu tertangguh dan perkara yang menghalang pelaksanaan Perjanjian Induk itu. "Saya gembira kerana mesyuarat semalam membuahkan hasil dan Menteri Besar itu bersetuju memuktamadkan urusan penstrukturan semula secepat mungkin dengan menghidupakan kembali Perjanjian Induk. "Kedua-dua kami bersetuju untuk menyelesaikan urusan penstrukturan semula itu dalam tempoh 60 hari," katanya dalam kenyataan Rabu. Ongkili berkata mereka bersetuju untuk meneliti kembali isu tertangguh dan mencari penyelesaian secara baik demi kesejahteraan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang terjejas oleh ketidaktentuan bekalan air. "Sehubungan itu, para pegawai dari kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan duduk berbincang dengan segera untuk meneruskan tindakan perlu diambil bagi melaksanakan Perjanjian Induk," katanya. Sebelum ini, kerajaan persekutuan memberi masa hingga 30 April 2015 kepada kerajaan negeri Selangor untuk memutuskan sama ingin meneruskan pelaksanaan Perjanjian Induk itu. Ongkili berkata dengan komitmen terbaru Menteri Besar itu, kerajaan negeri Selangor juga berjanji untuk memenuhi kesemua komitmen yang dibuat sebelum ini bagi mempercepatkan pemberian kelulusan terhadap permit dan tanah yang diperlukan bagi pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 serta sistem pengagihannya. Katanya, kerajaan persekutuan bimbang urusan penstrukturan semula dan projek Langat 2 yang tertangguh akan menjejaskan jaminan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang mempunyai margin simpanan air terawat kira-kira dua peratus sahaja. "Wujud juga kebimbangan bahawa rakyat akan lebih menderita pada musim kemarau memandangkan simpanan air di pelbagai tempat menakung air tidak berada pada paras biasanya," kata beliau. Ongkili berkata ketidaktentuan tentang bekalan air pada masa akan datang memaksa pihak berkuasa mengambil langkah berwaspada dalam meluluskan projek pembangunan yang memerlukan bekalan air. Setakat ini, kata beliau, 803 projek, termasuk ameniti, kemudahan, perumahan, pusat komersial dan perniagaan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur tidak dapat dimulakan. "Kerajaan persekutuan memerlukan komitmen dan persetujuan tidak bersyarat daripada kerajaan Selangor dalam memuktamadkan urusan penstrukturan semula dan mempercepatkan pelaksanaan sepenuhnya projek Langat 2 yang amat kritikal dan amat diperlukan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya. Perbincangan yang diadakan sepanjang dua tahun lepas merintis jalan kepada pemeteraian satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan semula industri bekalan air Selangor pada 26 Feb, satu kepala perjanjian (HoA) pada 1 Ogos dan akhirnya Perjanjian Induk pada 2 Sept tahun lepas.