KUALA LUMPUR: Isu pelarian Rohingya terus menjadi topik utama perbahasan di Dewan Rakyat pada Rabu. Malah kesengsaraan yang terpaksa dilalui kumpulan pelarian itu yang kini terumbang-ambing di tengah laut mencetus emosi seorang anggota Parlimen ketika membahaskan isu itu. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) ketika berhujah tiba-tiba sebak dirundung emosi sehingga beberapa kali terpaksa berhenti berhujah untuk mengawal perasaan. "Isu ini panjang (pelarian Rohingya), entah bila pelarian ini akan pulang ke negara asal. Malaysia patut bagi perlindungan dan beri pekerjaan kepada mereka. "Saya sedih akan nasib pelarian. Maafkan saya...Malaysia perlu mencari jalan penyelesaian," katanya, menahan sebak ketika membahaskan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015. Siti Mariah berkata, pembelaan terhadap pelarian adalah dituntut tanpa mengambil kira anutan agama atas dasar kemanusiaan. Gelora emosi Siti Mariah turut dirasai sidang dewan yang senyap sunyi ketika Siti Mariah meluahkan perasaan sedihnya sebelum Timbalan Speaker Dewan, Datuk Ismail Mohamed Said memintanya bertenang dan menyambung perbahasan. Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula berkata Myanmar termasuk pemimpin pro-demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi perlu memainkan peranan yang lebih penting dan tidak melepaskan tangan kepada negara jiran untuk menyelesaikan isu pelarian Rohingya. Katanya Malaysia dan negara-negara lain hanya mampu mencari jalan penyelesaian sementara berupa bantuan kemanusiaan di perairan, sempadan. Myanmar sendiri perlu menyelesaikannya secara total dengan bantuan antarabangsa. Tian Chua (PKR-Batu) pula berpandangan Malaysia perlu mempunyai pelan persediaan yang praktikal dalam mendepani isu ini kerana yakin negara merupakan antara destinasi pilihan kumpulan pelarian untuk mencari perlindungan. "Suka atau tidak, pelarian itu akan tetap datang ke negara jiran termasuk Malaysia seperti yang pernah berlaku sebelum ini," katanya. Dr Mansor Abd Rahman (BN-Sik) pula menarik perhatian Dewan kepada keadaan di pusat penempatan sementara yang dikhuatiri tidak mampu menampung kemasukan kumpulan pelarian ke negara ini. "Kem akan menjadi terus sesak, tidak mustahil akan wujudnya penularan penyakit dan penduduk setempat pula mendapat kesan dan akibatnya," katanya. Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015 antara lain bertujuan menambah baik pembelaan terhadap mangsa kes pemerdagangan termasuk membolehkan mereka bergerak bebas termasuk mendapatkan pekerjaan semasa tempoh perlindungan. Pindaan itu juga bertujuan membolehkan badan bukan kerajaan dilantik sebagai pegawai pelindung kepada mangsa pemerdagangan selain pengenalan rumah atau tempat perlindungan.