KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mengambil usaha untuk mempercepat pelaburan, menyediakan infrastruktur dan mengkaji semula pelan pembangunan koridor ekonomi wilayah untuk menuju ke arah keseimbangan geografi yang lebih baik. Ia juga bertujuan bagi merealisasi pelaburan sebanyak RM236 bilion dan mewujudkan sebanyak 470,000 peluang pekerjaan menjelang 2020, kata Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dalam Dokumen Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK11) bagi tempoh (2016-2020). Pelan lima tahun itu dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada Khamis. Menurut dokumen itu, koridor ekonomi wilayah akan terus memain peranan penting dalam pembangunan dan pertumbuhan Malaysia. "Koridor ekonomi wilayah akan terus membangunkan kluster ekonomi berdasarkan kelebihan sektor dan geografi bagi meraih manfaat ekonomi bidangan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. "Beberapa program dan projek jangka panjang dan berimpak tinggi sedang berjalan dan akan terus dilaksanakan pada tahun seterusnya," kata EPU. Sektor yang diberikan keutamaan termasuk kluster kreatif di Iskandar Malaysia; memperkukuh industri automotif dan aeronautik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara; serta industri petrokimia di taman perindustrian sedia ada di Wilayah Ekonomi Pantai Timur. Sektor lain termasuk pelancongan dan pemprosesan minyak kelapa sawit hiliran di Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan industri berintensifkan tenaga, termasuk aluminium, besi dan kaca, di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE). Menurut dokumen RNK11 itu beberapa inisiatif bagi menggalakkan keterangkuman juga akan dilaksanakan di seluruh koridor ekonomi wilayah, dengan tumpuan kepada aktiviti menjana pendapatan dan latihan kemahiran kepada masyarakat setempat. Dalam pada itu, Malaysia turut menyasarkan untuk menambah baik khidmat mudah cara kepada pelabur, serta menambah baik ketersambungan dan mobiliti, termasuk membina dan menaik taraf jalan raya dan lebuh raya seperti Lebuh raya Pan Borneo yang menghubungkan SCORE dan SDC. Kerjasama antara kerajaan, industri dan ahli akademik akan turut diperkukuh bagi menggiatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dalam kluster ekonomi untuk memastikan kemampanan industri, kata EPU.