PUTRAJAYA: Hampir 1,000 penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dihantar bermula 1 Mei lalu didapati berisiko dikenakan tindakan undang-undang dan berkemungkinan berlaku penipuan, kata Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T. Subromaniam. Beliau berkata, semakan agensi itu melalui sistem MyGST mendapati ada kemungkinan berlakunya pengikraran tidak betul, kurang bayar GST, terlebih tuntut cukai input serta pengelakan atau penipuan cukai. "Sistem pengkomputeran MyGST yang canggih akan melakukan analisis dan menandakan penyata berisiko. Penyata yang dikenal pasti sebagai berisiko akan diaudit dan disiasat lebih lanjut," katanya pada sidang media berkaitan GST di sini, Jumaat. Beliau berkata, pihaknya menerima 5,000 penyata GST setakat ini dan kebanyakan syarikat yang penyatanya didapati berisiko terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (SMEs). "Jabatan Kastam tidak akan berkompromi dengan sebarang penipuan yang cuba dilakukan, dan kami akan melakukan audit dalam masa terdekat kepada akaun dan penyata yang meragukan," katanya. Menurutnya peniaga yang melakukan kesalahan semasa mengisi penyata dibenarkan untuk memperbetulkan kesalahan itu, tetapi peniaga yang sengaja menipu akan dikenakan tindakan tegas termasuk diheret ke mahkamah. "Kita (Kastam) mempunyai nisbah bagi setiap industri. Jadi, jangan menipu dan mengikrar angka yang tidak benar kerana sistem MyGST akan mengenal pasti dengan mengeluarkan 'red alert'," katanya. Justeru, Subromaniam berkata Bahagian Pematuhan Audit GST telah digerakkan untuk mengaudit syarikat-syarikat yang telah dikenal pasti dan akan dilawat dalam masa terdekat. Sehubungan itu, Subromaniam menasihatkan peniaga agar mengikrar penyata yang benar, sahih serta betul dan sekiranya masih mempunyai pertanyaan, mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat di semua pejabat JKDM seluruh negara. Dalam perkembangan lain, beliau berkata penggunaan slogan seperti 'GST Kami Tanggung' oleh peniaga adalah tidak dibenarkan kerana mengelirukan pengguna seolah-olah GST tidak dikenakan atas pembelian barang berkenaan. "Amalan ini akan memberi gambaran kurang tepat kepada pelaburan tempatan dan luar negara bahawa GST perlu diserap dan akan menjadi kos kepada perniagaan apabila membuat pelaburan di Malaysia," katanya.-- Bernama