suria

Tiada Keperluan Buka Semula Pusat Sokongan MH370 Di China

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) pada Jumaat mengulangi komitmennya untuk terus membantu keluarga mangsa MH370 menerusi platform altenatif yang ia sediakan.

Sehubungan itu, syarikat penerbangan kebangsaan itu menjelaskan, tiada sebarang keperluan untuknya membuka semula Pusat Komunikasi dan Sokongan Keluarga MH370.

Ini sebagai mengulas laporan mengenai bantahan oleh keluarga serta waris penumpang penerbangan terhadap tindakan kerajaan Malaysia, China serta MAS menutup operasi pusat sokongan berkenaan di China.

MAS sebelum ini bertindak menutup pusat itu di Beijing serta enam wilayah lain di negara itu.

"Seperti yang telah dimaklumkan kepada anggota keluarga, Malaysia Airlines akan terus menyalurkan maklumat serta mengekalkan komunikasi menerusi talian khas serta emel bagi waris bertanyakan soalan am serta isu pampasan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sebagai langkah tambahan, MAS turut mengadakan pertemuan dengan waris keluarga di Beijing pada 15 Mei lepas.

Maklumat serta perkembangan terkini akan terus dipaparkan di laman web rasmi MH370 di http://www.mh370.gov.my.

Dalam kejadian 8 Mac 2014, penerbangan MH370 ke Beijing yang membawa 239 penumpang, termasuk 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.42 pagi.

Bagaimanapun, kurang 40 minit selepas berlepas, komunikasi radar antara pengawal trafik udara dengan pesawat itu terputus. 


MH370, MAS, pusat sokongan, China

Artikel Lain