KUALA KRAI: Sebanyak 15 keluarga mangsa banjir yang tinggal di rumah kontena di Dataran Peladang di sini, merayu kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan agar mempercepatkan pembinaan rumah kekal kepada mereka. Rata-rata mereka berharap rumah berkenaan dapat disiapkan sebelum Aidilfitri agar dapat menyambutnya bersama anak-anak yang akan pulang kelak. Mohd Zain Ismail, 72, berkata beliau resah memikirkan bagaimana untuk menyambut Aidilfitri yang akan tiba Julai depan, kerana pastinya lima anak dan empat cucu akan pulang untuk menyambut bersama-sama. "Rumah kontena ini buat masa sekarang selesalah kerana saya hanya tinggal dengan isteri dan seorang anak, namun ia akan menjadi masalah apabila empat lagi anak yang tinggal di luar Kelantan akan pulang menyambut Aidilfitiri," katanya ketika ditemui Bernama di sini, pada Sabtu. Sementara itu, Kamaruzzaman Abdul Razak, 36, berkata beliau mula mendiami rumah kontena tersebut sejak sebulan lepas dan berharap agar dapat menyambut Aidilfitri di rumah baharu. "Tinggal di rumah kontena ini pun sudah selesa.. tidaklah panas sangat kerana dinding di dalam rumah dilapisi papan lapis sebagai penebat haba. "Tapi seboleh-bolehnya dapatlah kami menyambut puasa dan hari raya dengan lebih baik. Buat masa ini kami terpaksa bergilir-gilir memasak di sebuah dapur besar," katanya. Sebelum ini, kerajaan Kelantan dilaporkan telah pun meminta agar kerajaan persekutuan mempermudah pemberian kontrak pembinaan bagi menyegerakan proses pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata langkah itu bagi memastikan mangsa banjir dapat mendiami rumah masing-masing secepat mungkin. -- BERNAMA