KOTA KINABALU: Polis memburu Mat Malaya yang juga adik kepada bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, di pantai timur Tawau selepas seorang lelaki menyerupai penjenayah itu dikesan berada di sana pada tiga hari lepas. Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri apabila anggota polis tiba di bandar Tawau antara malam Rabu dan pagi Khamis. "Jika orang itu tidak melakukan apa-apa kesalahan tidak ada sebab untuk dia melarikan diri," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. Kata beliau, polis belum pasti jika lelaki itu merupakan individu yang dicari dia berjaya ditangkap. "Kami menjalankan operasi untuk mengesan dia di Tawau dan ia masih berterusan, "kata Jalaluddin. Mat Malaya, nama sebenarnya Mohd Jusnaidi Omar dikehendaki polis selepas bertindak menembak seorang mekanik di sebuah kedai membaiki penyaman udara dalam satu pergaduhan di Likas di sini pada 10 Mei. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata pegawai Imigresen telah dimaklumkan tentang Mat Malaya bagi mengawal semua pintu keluar. Mat Malaya, yang sebelum ini didakwa mengedar dadah pada tahun 2007 dikatakan bersenjata dan berbahaya serta tidak teragak-agak untuk melepaskan tembakan.