PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menilai semula prestasi keraja 5,000 penjawat awam yang dikenal pasti di tahap rendah kerana bimbang mereka menjadi mangsa balas dendam pihak tertentu. Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, sehubungan itu, pihaknya berharap penilaian semula itu perlu dilakukan pegawai penilai yang lain bagi mengelak kumpulan itu terus dibelenggu dengan masalah sama. "Cuepacs tidak bersetuju dengan dasar pemisah berprestasi rendah ini dimasukan dalam Rancangan Malaysia ke11 (RMK11), bagaimanapun selepas diteliti ia dilihat lebih baik daripada meraka dibuang kerja tanpa penilaian. "Namun, apa juga keputusan perlu dilaksanakan secara adil dan saya meminta agar kerajaan menilai kali kedua penjawat-penjawat awam tersebut oleh pegawai penilai yang berbeza. "Kita tidak mahu markah penilaian mereka dilakukan oleh pegawai yang mempunyai pandangan peribadi sama ada berdasarkan mereka suka atau tidak suka dengan pekerja tersebut," ujarnya ketika dihubungi kepada mStar Online, di sini, Isnin. Azih berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dasar pemisah berprestasi rendah yang telah mengenal pasti 5,000 penjawat awam tidak mencapai skor pencapaian 60 peratus. Bagaimanapun, tambahnya, terdapat ramai penjawat awam yang mengalami pelbagai masalah berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi. Katanya, gaji bulanan yang kecil menyebabkan mereka terpaksa membuat pinjaman dengan peminjam wang tidak berlesan atau along yang akhirnya menimbulkan lebih banyak masalah. "Selain meminjam along, ada yang terpaksa kerja sambilan pada sebelah malam seperti bawa teksi dan perkara ini menjadi punca mereka hilang fokus," jelasnya. Tambahnya, kerajaan seharusnya mengkaji pendapatan bulanan dan kos sara hidup penjawat awam serta mengawal mereka daripada membuat pinjaman dengan 'lintah darat'. Pada Sabtu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kira-kira 5,000 daripada 1.6 juta penjawat awam dikenal pasti mempunyai skor pencapaian di bawah 60 peratus sejak dasar pemisah (exit policy) diperkenalkan pada tahun lepas. Katanya, kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas selama 200 hari setahun dan mempunyai komitmen luar tugas. Tambah Ali, dasar berkenaan yang pertama kali diperkenalkan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan Najib di Dewan Rakyat adalah untuk merasionalisasikan sektor awam dan mewajarkan saiz perkhidmatan. Langkah itu bertujuan menjadikan perkhidmatan awam berfokuskan rakyat disokong dengan bakat yang lebih berkemahiran, kurang lapisan hirarki dan birokratik, kurang pemusatan kerja serta perkhidmatan lebih mudah dicapai, cekap dan berkesan untuk rakyat.