Pembebasan beruang matahari betina bernama Natalie itu adalah yang pertama bagi Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) yang mula beroperasi di Sepilok, Sandakan tujuh tahun lalu.
Pengasas BSBCC dan Ketua Eksekutifnya Wong Siew Te berkata Natalie telah diterbangkan dengan helikopter dari Sepilok dan dibebaskan di Rizab Hidupan Liar Tabin pada 17 Mei.
Beliau berkata pegawai-pegawai hidupan liar akan mengesan pergerakan Natalie di Tabin melalui kolar satelit yang telah dipasang.
Ibunya dipercayai telah diburu oleh pemburu haram.
"Sejak itu Natalie telah membesar secara sihat dan matang di bawah jagaan kita," kata Wong, sambil menambah pusat itu telah menyediakan kemudahan untuk membantunya dalam pergerakan dan pembangunan kemahiran hidup yang penting seperti mencari makanan, memanjat, membuat sarang dan bersosial.
"Natalie membesar di kandang hutan semula jadi di BSBCC dengan pokok-pokok yang tinggi, tumbuhan tebal dan sejumlah besar makanan semula jadi seperti anai-anai, cacing tanah, serangga dan madu dari sarang lebah," katanya.
Beliau berkata pelepasan Natalie di Tabin merupakan usaha bersama BSBCC bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU), serta Pusat Penyelidikan Danau Girang.
Pengarah Jabatan William Baya memuji BSBCC yang memulakan projek.
"Pembebasan Natalie adalah tanda kejayaan BSBCC dan saya percaya lebih banyak beruang akan dilepaskan ke dalam hutan pada masa akan datang," kata William.