KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan larangan terhadap buku mengenai bekas Menteri Sabah Datuk Peter J. Mojuntin yang telah diharamkan selama 37 tahun kerana ia masih boleh mengancam kepentingan dan keselamatan negara. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata buku yang bertajuk 'The Golden Son of the Kadazan' telah diharamkan pada 22 Jun 1978 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, yang kini telah dimansuhkan. "Buku itu diharamkan kerana ia mengandungi kritikan yang melampau terhadap Kerajaan Persekutuan, termasuk dakwaan bahawa kerajaan telah membuat keputusan terburu-buru di negeri ini. “Buku ini amat cenderung ke arah mencetuskan pergeseran dan perbalahan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya penganut Kristian dan Islam. “Kandungan buku ini dikhuatiri boleh memudarat atau mungkin memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam jika tidak dikenakan perintah larangan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking, yang mengemukakan soalan itu dalam Dewan Rakyat pada pada 21 Mei lalu. Ahmad Zahid berkata kandungan buku itu boleh menjejaskan keharmonian negara jika ia tidak dikenakan perintah larangan. Buku itu ditulis berdasarkan kehidupan dan perjuangan Mojuntin oleh Bernard Sta Maria. Leiking bertanya kepada menteri mengapa buku itu masih diharamkan sedangkan buku lain yang bertajuk 'Kristianisasi dan Gejala Murtad' oleh Mohd Farhan Abdullah yang mengkritik agama Kristian masih dijual di kedai-kedai di seluruh negara. Ahmad Zahid berkata, buku tersebut tidak perlu diharamkan kerana kandungan buku berkenaan memaparkan kisah hidup dan pengalaman penulis ketika masih lagi beragama Kristian. “Bahkan,ia juga memaparkan kehidupan penulis semasa masih beragama Kristian sebagai suatu sempadan kepada umat Islam,” katanya. Zahid bagaimanapun berkata, KDN masih lagi meneliti lebih lanjut mengenai buku ini, jika ia menyalahi peruntukkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Dalam satu lagi jawapan bertulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menambah bilangan hari persidangan Dewan Rakyat.