WANG KELIAN: Mayat kedua dipercayai mangsa aktiviti sindiket pemerdagangan manusia dikeluarkan daripada satu dari 139 kubur yang ditemui di hutan bukit Wang Burma bersempadan dengan Thailand di sini, pada Selasa. Mayat lengkap berkapan ditemui pasukan forensik polis setelah menggali satu kubur sedalam 0.4 meter di satu tapak yang dijadikan kem seluas kira-kira 50 meter persegi dan dibawa keluar pukul 4.10 petang tadi. Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Rizani Che Ismail pasukan forensik tidak membuka kain kapan. Mayat itu terus dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat. "Melalui siasatan yang dibuat, polis percaya 37 struktur yang ditemui dalam tapak tersebut adalah kubur namun hari ini hanya satu kubur sempat digali," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Pasukan Gerak Am (PGA) di sini,Selasa. Polis turut membenarkan 63 orang wartawan tempatan dan asing yang berkumpul di markas itu sejak semalam menyertai pasukan forensik dan PGA mendaki bukit Wang Burma untuk melihat kem-kem haram yang ditinggalkan oleh sindiket pemerdagangan manusia. Pendakian mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai di kawasan kem itu melalui jalan yang telah dibersihkan oleh PGA bagi memudahkan pasukan forensik dan penyiasat naik. Tinjauan media mendapati tapak atau kem itu berada di lereng-lereng bukit yang curam serta jauh dalam hutan dan tidak mungkin disyaki terdapat aktiviti dikawasan terbabit. Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, sepanjang 11 kilometer. Mayat pertama yang dibiarkan mereput di atas tanah ditemui di satu dari tapak berkenaan telah dibawa keluar petang Isnin dan dihantar ke HSB untuk dibedah siasat. Rizani berkata operasi menggali semua kubur akan disambung pada Rabu dan dijangkakan akan selesai dalam tempoh tiga minggu lagi. Menurutnya kedudukan kem-kem berkenaan di kawasan curam pada ketinggian melebihi 400 meter dan hampir 500 meter ke puncak bukit yang menjadi garisan pemisah sempadan Malaysia/Thailand menyukarkan operasi dan kerja menurunkan mayat. Beliau yang diasak oleh wartawan yang ingin mengetahui mengenai tangkapan terbaharu hasil siasatan polis berkata: "Perkara ini menjadi tanggungjawab pihak atasan." "Saya diarahkan memberi maklumat mengenai operasi di sini sahaja. Kita tidak boleh memberi anggaran berapa mayat yang ditanam sehingga semua kubur digali namun siasatan kita tidak terhenti di sini. Jika ada penemuan (kubur) baharu kita akan maklumkan," katanya.