suria

Dua Rakan Cipta Aplikasi 'Pertahan' Perairan Sabah

KOTA KINABALU: Tidak berniat untuk mempermainkan insiden, dua peminat permainan video tampil dengan sebuah aplikasi berdasarkan penculikan dua rakyat Malaysia di Sandakan.

Bukan hiburan semata-mata, permainan mudah alih yang dibangunkan Sinn Chun Hou dan Adrian Nungka mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pasukan keselamatan dalam mempertahankan sempadan laut berkeluasan 1,700km di Sabah.

Menamakannya sebagai Ace-Com Defence, permainan tersebut yang boleh didapati secara percuma di Google Play Store, memaparkan pertahanan 'Ace-Com' dalam sebuah bot peronda terhadap serangan penceroboh bertopeng dalam bot kecil.

Untuk menang, pemain perlu membantu pertahanan 'Ace-Com' menembak 100 penceroboh dengan jumlah peluru yang sama.

"Ia permainan yang tangkas tetapi mudah," kata Sinn yang bersama dengan Adrian mengambil masa seminggu untuk membangunkan aplikasi tersebut sebelum memuat naiknya ke Play Store pada 21 Mei.

Sinn berkata idea untuk mencipta aplikasi itu tercetus selepas penculikan ahli perniagaan Thien Nyuk Fun, 50, dan perunding elektrik Bernard Then Ted Fun, 39, dari restoran makanan laut Ocean King pada 14 Mei.

Katanya permainan itu tidak bertujuan untuk mengambil enteng kejadian itu tetapi untuk menunjukkan kesukaran yang dihadapi pasukan keselamatan dalam mempertahankan sempadan laut.

"Penceroboh boleh datang dari arah mana sahaja dan pada bila-bila masa...mempertahankan wilayah kita tidak mudah seperti yang difikirkan sesetengah pihak," katanya.

Apabila ditanya mengenai nama permainan Ace-Com yang sama bunyinya dengan Esscom, Sinn berkata: "Niat kami bukan untuk memperkecilkan sesiapa."

Ace-Com Defence adalah permainan mudah alih kedua kerjasama antara Sinn, 33, dan Adrian 30.

Disember lalu mereka telah memuat naik permainan'Tap,tap, bad game' di Google Play Store.

Sinn yang merupakan pengarah kreatif di sebuah produksi filem dan syarikat fotografi komersial serta Adrian yang menguruskan sebuah syarikat pembangunan perisian, berkata mereka masih mempelajari proses membangunkan aplikasi mudah alih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain