KUALA LUMPUR: Serangan DAP terhadap golongan ulama terutama Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat membantu Presiden PAS itu meraih undi dengan lebih mudah pada pemilihan parti itu bulan depan. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kritikan berterusan yang dilemparkan kepada Hadi menyebabkan semakin ramai ahli parti itu simpati terhadap beliau. Malahan, katanya, serangan tersebut juga menimbulkan rasa tidak puas dikalangan ahli PAS di peringkat akar umbi. "Bagi saya, kalau semakin DAP serang ulama macam presiden, semakinlah orang bersimpati kepadanya dan yang nak mengundi bukan ahli DAP tapi ahli PAS. Secara tak langsung ia bantu (raih undi)," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Rabu. Ditanya adakah provokasi DAP itu dilihat sebagai muslihat supaya PAS keluar pakatan pembangkang, Nik Abduh enggan mengulas lanjut mengenainya. Sebaliknya, beliau hanya menyifatkan ia sebagai bacaan politik yang seolah-olah membayangkan DAP memprovokasi PAS supaya tidak kekal bersama dua sekutunya, DAP dan PKR. Namun, Nik Abduh yakin PAS tidak akan meninggalkan pakatan pembangkang. "Saya setakat ini yakin bahawa PAS tidak akan ambil tindakan sebegitu. Itu terpulang kepada PAS, saya tak mahu komen," katanya. Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut berharap agar pimpinan tertinggi pakatan rakyat mengambil langkah terbaik untuk meredakan ketegangan antara DAP dan PAS. "Saya tidak suka isu yang dibangkitkan DAP diperbesarkan, DAP banyak merujuk kepada isu hudud dan isu PAS nak sertai BN," katanya. Menurut beliau, soal pembentukan kerajaan perpaduan bersama Umno tidak pernah timbul dan hanya dibangkitkan untuk memecah-belahkan pakatan pembangkang. "Kerajaan perpaduan (U-G) adalah suara yang sepatutnya tak didengar kepimpinan tertinggi. Isu ini sengaja diprovokasi untuk pecahkan Pakatan Rakyat. "Sudah berkali-kali presiden PAS sebut U-G ini tak ada. Cuma yang lama adalah cadangan sebuah kerajaan tanpa pembangkang bukan kerajaan BN-PAS tapi kerajaan semua parti. Itu dipertegaskan berapa kali, " katanya.