suria

Kem Penyeludupan Manusia Telah Ditemui Pada Januari

WANG KELIAN: Tapak perkhemahan yang didirikan oleh penyeludup manusia dekat sini dikatakan telah ditemui pada awal tahun ini, bertentangan dengan dakwaan bahawa ia ditemui pada 11 Mei.

Anggota dari Pasukan Gerakan Am yang terlibat dalam tugasan menggeledah kawasan itu berkata tapak yang ditemui di negeri Perlis itu telah ditemui sebelum ini.

Salah seorang daripada mereka, yang enggan namanya disiarkan mendakwa mereka menemui tapak itu berikutan penangkapan besar-besaran pendatang haram pada Januari tahun ini.

"Mereka yang ditahan memberitahu kami dari mana mereka datang dan kami mengikuti jejak mereka sehinggalah menemui tapak perkhemahan itu," katanya.

Sangkar untuk mengurung manusia yang telah ditinggalkan. -foto AP

Seorang lagi pegawai mengesahkan bahawa kem itu sebenarnya ditemui pada November tahun lepas.

Walau bagaimanapun, beliau tidak pasti mengapa perkara itu hanya didedahkan kepada awam sekarang.

"Ketika kami menemui kem ini, terdapat kira-kira 50 orang, dipercayai Rohingya dan Bangladesh dikurung dalam sangkar.

"Mereka kelihatan lemah dan kelaparan," katanya sambil menambah tiada rakyat Malaysia ditemui di kem itu.

Suasana di kem penyeludupan manusia yang telah ditinggalkan. -foto AP

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail juga percaya kem itu telah berada di situ dalam jangka masa tertentu tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

Terdahulu sebelum sampai ke bukit itu, Pegawai Operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Deputi Superintendan Salleh Mohd Hussain berkata hanya terdapat satu kem induk di bukit Wang Burma.

Kem dan kubur selebihnya berada di bukit di Wang Perah.

Rangka gigi manusia antara yang ditemui. -foto AP

Diasak oleh pemberita di pangkalan taktikal Pasukan Gerakan Am tentang alasan pihak berkuasa mengambil masa yang lama untuk menemui kem-kem tersebut, Rizani enggan mengulas.

Beliau berkata misi pada Selasa adalah untuk menghantar kakitangan forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah ke salah sebuah tapak perkhemahan untuk proses pemindahan.

"Pasukan itu telah menemui mayat yang dibalut dengan kain putih dari salah satu kubur.

"Mayat telah dihantar ke unit forensik kami," katanya.

Sebelum itu, lebih 60 wartawan mendaki bukit untuk sampai ke salah satu tapak perkhemahan berkeluasan 100 meter per segi dengan ketinggian lebih dari 400m di atas paras laut di bukit Wang Burma dalam Taman Negeri Perlis.

Kira-kira 100 meter dari tapak perkemahan, pasukan forensik polis menggali mayat pertama dari kubur.

Artikel Sebelum

Artikel Lain