suria

Tiga Tentera Maut Dalam Kemalangan Di Jempol

Proton Saga remuk dalam kemalangan melibatkan anggota tentera.

JEMPOL: Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bahau-Juasseh dekat sini awal pagi Rabu.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, kereta yang dinaiki lima mangsa itu sedang dalam perjalanan dari arah Juasseh ke Bahau.

Mereka yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Koperal Mohd Izwan Azizan, 31, Koperal Mohd Shahrul Nizam, 35, dan Lans Koperal Mohd Mostakim Abd Majid, 29.

Dua wanita yang juga pemandu dan penumpang bahagian hadapan kereta itu yang berusia 22 dan 23 tahun cedera parah. Kedua-duanya bukan anggota tentera.

Siasatan polis mendapati pemandu terlelap mengakibatkan kenderaan yang dipandu terbabas ke bahu jalan arah bertentangan dan melanggar tiang elektrik sebelum melanggar lubang pembentungan saliran air.

Akibat dua hentakan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta terbabit remuk.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Pegawai Bomba Kanan II, A Gonaselan, berkata pihaknya menghantar sebuah jentera bersama tujuh anggota ke tempat kejadian sebaik menerima menerima panggilan pada 4.30 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian mendapati kelima-limanya tersepit di dalam kenderaan itu.

"Pasukan kami mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Jempol dekat sini untuk dibedah siasat manakala dua wanita yang parah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan.-- BERNAMA

Tentera

Artikel Sebelum

Artikel Lain