suria

Lunas PTPTN Sebelum Berangkat Ke Tanah Suci

ASSALAMUALAIKUM.  Generasi sekarang sungguh bertuah kerana pada usia muda lagi sudah berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Madinah dan Makkah untuk menunaikan ibadat umrah bersama-sama keluarga.

Ramai yang berusia dalam lingkungan 20-an mengikut ibu bapa mereka mengerjakan umrah ketika ini kerana semakin ramai umat Islam memilih Tanah Suci untuk bercuti dengan anak-anak. Bukan sahaja berpeluang mengeratkan lagi kemesraan tetapi boleh beribadat di kota suci berkenaan.

Lazimnya, anak muda yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang sudahpun menghabiskan pengajian di peringkat diploma di institusi pengajian tinggi awam atau swasta dan pernah membuat pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Golongan ini selalunya sudah bekerja dan ada antara mereka menggunakan duit kocek sendiri untuk menunaikan umrah dan tidak kurang juga ‘ditaja’ oleh ibu bapa yang serba berkemampuan. Alhamdulillah.

Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman melihat reaksi, kekecewaan dan kesedihan yang terpaksa dilalui oleh dua jemaah yang mahu berangkat ke Tanah Suci bersama-sama keluarga masing-masing pada 2009.

Aidil, 23, menemani emaknya. Beliau sudah bekerja kira-kira satu tahun di sebuah syarikat swasta dan kali pertama menunaikan umrah. Emaknya sudah beberapa kali mengerjakan umrah tetapi pada kali itu ditemani Aidil, anak bongsu lelakinya.

Sarah pula pergi bersama-sama keluarga seramai 10 orang, termasuk ibu bapa dan adik-beradik serta emak saudaranya. Beliau sudah bekerja hampir dua tahun dan juga kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Saya bertemu Aidil dan Sarah di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Sepang. KLIA agak sesak kerana hari Ahad. Sudah tentu sekali sanak saudara mahu menghantar tetamu Allah SWT mengerjakan umrah apabila ada kesempatan kerana tidak bekerja.

Aidil berkemeja-T rona putih, manakala Sarah berjubah hitam polos. Jelas terpancar keriangan pada raut wajah mereka ketika diminta meletakkan bagasi berhampiran kaunter daftar masuk. Selepas itu, mereka diberi tag nama dan beg cenderahati.

Selepas mendengar taklimat daripada pengarah urusan agensi pelancongan yang dipilih untuk mengerjakan umrah, semua jemaah bersalaman dan berpelukan dengan waris terdekat sebelum memohon diri untuk beredar ke Balai Berlepas Antarabangsa.

Sepertimana lazim, waris yang ditinggalkan memohon doa dan berpesan agar menjaga diri dan kesihatan sepanjang di Tanah Suci. Suasana ketika itu kadangkala mengharukan kerana yang ditinggalkan pasti berasa sedih.

Begitu juga saya yang ketika itu bertindak sebagai kakitangan di agensi pelancongan. Tidak berpeluang bersama-sama jemaah berkenaan kerana baru juga pulang dari menunaikan umrah sebelum itu.

Mereka berangkat menaiki Gulf Air yang akan berlepas pada kira-kira jam 10.30 pagi dan dijadualkan transit di Manama, Bahrain untuk tiga jam sebelum berangkat ke Jeddah selepas itu. Setelah kelibat jemaah tidak dapat dilihat di bahagian imigresen, saya berjalan menuju ke lif untuk turun ke kawasan tempat meletak kenderaan bersama-sama seorang lagi rakan setugas.

Ketika menunggu lif, saya menerima panggilan telefon daripada bapa Sarah.

“Hajah. Anak saya tak dapat pergi hajah…” ujar bapa Sarah cemas.

“Kenapa ye haji? Apa masalahnya?” tanya saya kehairanan.

“Tak lepas di imigresen tadi. Sangkut hajah. Pasal PTPTN…” balas beliau.

“Ya Allah…kesiannya Sarah,” jawab saya pula.

“Ni dia akan naik semula ke paras lima ye. Saya harap hajah tolong uruskan nanti. Kami sempat bincang sekejap tadi,” pinta bapa Sarah penuh sebak.

“Sabarlah haji. Insha Allah kami uruskan nanti,” balas saya lagi.



Sambil bercakap di dalam telefon bimbit, saya berjalan menuju ke eskelator dan ternampak Sarah dan di belakangnya Aidil. Saya agak hairan melihatkan Aidil juga bersama-sama Sarah kerana tidak menerima sebarang panggilan daripada emaknya.

Sejurus tiba di paras lima, Sarah memeluk saya dengan tangisan dan sedu sedan. Wajah Aidil pucat dan air matanya bergenang.

Saya menenangkan Sarah dan memujuknya berkali-kali selain memintanya bersabar menghadapi ujian itu. Aidil pula mendakap ketua saya, Haji Shahril, dan turut ditenangkan.

“Aidil dan Sarah tak selesaikan PTPTN ke?”  tanya Haji Shahril.

“Saya dah mula bayar dua bulan lalu dan mengikut seorang rakan, saya tak ada masalah untuk ke luar negara,” ujar Aidil.

“Kalau dah mula bayar macam mana boleh sangkut? Kena periksa esok,” nasihat Haji Shahril.

“Baiklah haji. Insha Allah saya uruskan esok pagi-pagi,” ujar Aidil terharu.

“Sarah macam mana? Dah pernah bayar ke tidak?” tanya Haji Shahril lagi.

“Ada tunggakan. Saya uruskan esok juga. Saya nak pergi Makkah haji, tolonglah uruskan,” pinta Sarah.

“Baiklah. Aidil dan Sarah uruskan segera PTPTN. Insha Allah ada rezeki boleh terbang hari Selasa ini,” balas Haji Shahril.

Mendengarkan kata-kata Haji Shahril, mereka kelihatan lega dan jelas tergambar pada wajah kedua-duanya. Sarah berlalu pulang dengan waris terdekatnya yang masih ada di KLIA, manakala Aidil pula dibawa pulang oleh saudara-mara yang turut menghantar.

Mereka dinasihatkan agar segera menguruskan bayaran atau sebarang tunggakan kepada PTPTN dan turut memaklumkan kepada pihak berkenaan mengenai hasrat untuk menunaikan ibadat umrah bersama-sama keluarga yang sudahpun berlepas pada hari Ahad.

Kami memandang mereka berlalu pergi dan tidak sangka perkara itu bakal menimpa kedua-dua anak muda itu.

“Penting ye lunaskan tunggakan dan bayaran PTPTN,” ujar saya kepada rakan setugas.

“Iyelah hajah. Dah pinjam, mestilah kita bayar semula. Namanya pun pinjaman,” balas rakan setugas saya sambil kami menuju ke lif berhampiran.

“Kesian tengok Sarah. Sedih sungguh dia,” sambung saya pula lantas bertanya kepada Haji Shahril bolehlah mereka berangkat pada Selasa.

“Insha Allah boleh jika mereka uruskan segala tunggakan esok pagi,”  katanya lagi.

Isnin, pada kira-kira jam 11 pagi, Aidil menghubungi pejabat agensi pelancongan dan memaklumkan bahawa bayaran yang dibuat tidak dikemas kini sehingga menyebabkan dia ditahan di imigresen KLIA.

Tidak lama selepas itu, Sarah pula menghubungi pihak pengurusan dan memaklumkan sudah menjelaskan bayaran PTPTN yang tertunggak dan bebas ke luar negara. Selain itu, pihak agensi pula menguruskan pemergian mereka ke Tanah Suci pada Selasa untuk memastikan mereka tidak ketinggalan bersama-sama keluarga di Madinah.

Alhamdulillah, esoknya iaitu Selasa, Aidil dan Sarah bertemu sekali lagi di KLIA dan mereka nampak ceria serta tidak sabar untuk bersama-sama keluarga masing-masing.

Pada 2009, syarat untuk menunaikan umrah belum begitu ketat sebagaimana sekarang, wanita berusia 45 tahun ke bawah dilarang mengerjakan umrah tanpa mahram. Syarat itu dikenakan pada 2013 sehingga menyebabkan ramai wanita berusia di bawah 45 tahun terpaksa membatalkan atau membawa mahram mereka mengerjakan umrah.

Setelah mereka tiba di Madinah dan disambut oleh mutawif di sana, kedua-duanya dibawa ke Madinah untuk bertemu keluarga masing-masing. Biarpun hanya satu malam di Madinah dan tidak berkesempatan ziarah luar, mereka tetap gembira kerana dapat menyempurnakan umrah di Makkah secara berkumpulan.

Kisah mereka ini wajar dijadikan iktibar dan pengajaran oleh anak muda yang belum melunaskan pinjaman PTPTN. Untuk memastikan anda tidak bermasalah untuk ke luar negara, pastikan memeriksa  status anda terlebih dahulu sebelum  berangkat.

PTPTN, umrah, KLIA

Artikel Lain