suria

Protes Depan Gereja: Zahid Pertahan Kenyataan KPN

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis mempertahankan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tidak mengklasifikasikan kes protes di hadapan sebuah gereja di Taman Medan pada April lalu sebagai satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Beliau berkata kenyataan Khalid adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat terhadap penunjuk perasaan tersebut.

"Kenyataan yang dibuat oleh ketua polis negara adalah berdasarkan laporan polis yang dibuat dan diklasifikasikan awal sebagai pencerobohan bangunan, bukan diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan.

"Adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk mengklasifikasikan setiap aduan yang diterima bagi tujuan siasatan atau sebaliknya," kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang bertanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Khalid kerana mengisytiharkan kes tersebut tidak disiasat di bawah Akta Hasutan.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memberitahu, polis kini dalam proses melengkapkan siasatan dan mengumpul semua bukti sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Pihak polis dalam proses untuk melengkapkan siasatan serta mengumpul bukti-bukti sebelum kertas siasatan diedarkan kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut sama ada bersetuju dengan cadangan polis atau sebaliknya," katanya.

Pada 20 April lalu, seramai 40 penduduk di kawasan tersebut yang diketuai oleh abang KPN, Datuk Abdullah Abu Bakar mengadakan bantahan di gereja tersebut bagi menuntut agar tanda salib di premis itu diturunkan.

Bantahan tersebut diadakan atas alasan tanda salib itu mencabar akidah dan kepercayaan majoriti penduduk kawasan itu yang beragama Islam.

Pihak gereja bersetuju menurunkan lambang salib gergasi yang dipasang pada tingkap gereja yang terletak di tingkat dua sebuah bangunan rumah kedai itu selepas bantahan dibuat.

Dewan Rakyat, Gereja, Islam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan