KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat memerintahkan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan sebuah syarikat membayar ganti rugi RM350,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana memfitnah lembaga itu dalam sebuah buku. Hakim Datuk Su Geok Yiam turut memerintahkan Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd yang menerbitkan buku "FELDA... Dulu tolong Sekarang Ah Long" membayar kos guaman sebanyak RM150,00 kepada Felda. Sementara jumlah RM350,000 adalah bagi ganti rugi am dan teruk. Pada 20 Julai 2009, Felda memfailkan saman terhadap Mazlan dan penerbit buku itu dan mendakwa tajuk buku tersebut membawa maksud Felda adalah Ah Long atau pemberi pinjaman wang haram dengan kadar faedah yang terlampau tinggi. Felda dalam pernyataan tuntutannya mendakwa buku itu menggambarkan Felda bakal mengaut keuntungan yang banyak daripada pelbagai rancangan kemajuan sehingga memudaratkan peneroka yang kononnya hidup miskin akibat salah laku plaintif, dan mereka tidak ubah seperti hamba abdi ekoran dasar yang didakwa menindas. Felda berkata kandungan buku itu juga berniat jahat dan dibuat untuk merosakkan reputasi Felda bagi merendah-rendahkan imejnya di mata masyarakat. Felda diwakili oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Nor Emelia Iszeham, manakala peguam mewakili Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd tidak hadir.