PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NG) yang mewaikili Rohingya di negara ini mendedahkan bahawa pelarian etnik itu dianiaya, diseksa dan dijual oleh ejen penyeludupan yang terdiri daripada etnik sama. Pengerusi Majlis Ulama Rohingya (MUR), Mohd Jaber Mohd Subahan, berkata, dakwaan itu dibuat kerana ahlinya juga pernah melalui kejadian sama ketika ingin memasuki negara ini suata ketika dahulu. "Pada awalnya, etnik Rohingya seperti saya terpaksa lari ke Malaysia kerana kami merupakan pendakwah di Myanmar. Ustaz atau guru agama Islam tidak diterima, malah kami akan ditangkap polis dan diseksa. "Tetapi kini bukan sahaja ustaz tetapi sesiapa sahaja yang beragama Islam tidak boleh hidup di sana, sebab itulah mereka lari ke Malaysia. Untuk masuk ke Malaysia, pelarian ini diuruskan oleh ejen Rohingya yang telah lama berada di negara ini dan mewujudkan rangkaian pemerdangangan manusia. "Orang Malaysia tidak akan seksa pelarian seperti kami, ini kami semua tahu, cuma apa yang saya sedih... pelarian itu diseksa dan dijual oleh ejen Rohingya yang beragama Islam sendiri," katanya kepada mStar Online. Tambah Mohd Jaber, pelarian Rohingya juga berisiko dibunuh olej ejen yang tamakkan wang jika mereka tidak mengikut arahan. Menurutnya, pelarian yang dikurung di dalam hutan atau di tengah laut tidak disediakan makanan selain menjadi mangsa culik apabila ejen meminta wang tebusan kepada keluarga mereka di Myanmar. "Penyeludup pula tidak sediakan makanan minuman yang mencukupi sepanjang berbulan-bulan mereka dalam perjalanan hingga ada yang mati. Setelah sampai pula mereka dikurung hingga keluarga di Myanmar menyelesaikan wang secukupnya iaitu RM3,000 hingga RM7,000 seorang," katanya. Bagaimanapun, Mohd Jaber berkata, perkara tersebut berbaloi jika mereka berjaya melepasi proses penyeludupan dan tinggal di negara jiran sebagai pelarian. "Jika mereka berjaya lepas di Thailand atau Malaysia ia bermakna sudah bebas dan boleh mulakan hidup baharu. "Di sini hidup lebih aman, dulu di Myanmar kehidupan sangat teruk termasuk cukai yang dikenakan kerajaan melebihi pendapatan dan kami tidak boleh bergerak secara bebas. Kami sentiasa melarikan diri daripada polis, tetapi di sini saya dengan polis pun boleh berkawan," ujarnya. Tambahnya, dia kini bersyukur dapat menumpang dan meneruskan kehidupan di negara ini biarpun secara sederhana. "Kami diberi hak untuk hidup bebas seperti orang lain dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung hidup biarpun memeggang kad pelarian, "Selain itu juga, saya boleh mengajar agama di surau atau masjid, kerana jika di Myanmar perkara itu menjadi masalah kepada kerajan di sana," ujarnya. Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer. Kubur-kubur tersebut dipercayai menempatkan mayat pendatang Bangladesh dan Rohingya yang cuba memasuki Malaysia melalui Thailand.