KANGAR: "Ayah dan ibu saya dibunuh, tolong saya." Walaupun menggunakan bahasa berbeza, seorang peniaga warga Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifah, 40-an, mampu memahami isyarat yang ditunjukkan seorang lelaki berbangsa Rohingya yang datang ke kedai runcitnya di Wang Kelian kira-kira setahun lepas. Sharifah berkata lelaki berusia lewat 20-an yang dipercayai salah seorang mangsa pemerdagangan manusia itu turun dari kawasan bukit di belakang kedainya dengan keadaan tidak terurus, berpakaian lusuh dan compang-camping sambil menunjukkan isyarat 'tangan memotong leher' dan menyebut apa yang didengarinya seperti 'Ma' dan 'Pa'. "Kedai saya masa itu di sempadan sebelah Malaysia di Wang Kelian, dekat dengan kawasan bukit itu (tempat kubur pelarian ditemui). "Dia datang waktu itu hanya nak minta tempat untuk solat. Selepas itu saya tak tahu mana dia pergi," kata Sharifah kepada Bernama ketika ditemui di Wang Pratchan, Thailand, di sempadan Malaysia-Thailand Jumaat. Sharifah yang fasih berbahasa Melayu berkata, itu bukan kali pertama warga Rohingya dilihat di kawasan perniagaan berkenaan. "Sebelum Ramadan tahun lepas, mereka turun dari bukit bertentangan dengan bukit yang mana kubur-kubur pelarian ini dijumpai. Mereka turun ketika itu mencari daun pisang, katanya untuk dibuat makanan," katanya. Malah, dalam keadaan teragak-agak, Sharifah berkata kira-kira sebulan lepas sebuah keluarga lima beranak yang juga berbangsa Rohingya ditemui di sebuah masjid di kampung tempat tinggalnya di Thailand, kira-kira 20 kilometer daripada sempadan. Ditanya kenapa beliau agak gentar memberikan maklumat itu, beliau menyatakan kerisauan sekiranya maklumat berkenaan akan menimbulkan masalah kepada keluarga berkenaan atau beliau sendiri. "Saya tak tahu apa akan jadi, risau...nak bagitahu risau, nak bantu mereka juga risau sebab kita tahu apa dah berlaku kepada keluarga lelaki Rohingya yang saya bertemu tahun lepas. Mereka ini juga orang Islam, macam adik-beradik kita sendiri," katanya. Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur dan 28 kem transit yang ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. Sementara itu, seorang lagi peniaga warga Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Murad, 55 tahun, turut berkongsi sentimen serupa. Beliau yang berniaga di kawasan sama seperti Sharifah sejak 20 tahun lepas berkata mereka sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku melibatkan pendatang Rohingya yang seringkali muncul di kawasan berkenaan. "Kita boleh agak ada sesuatu yang tidak kena, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. Kami majoriti peniaga di sini tidak dapat menafikan simpati dengan apa perlu diharungi mereka di dalam hutan itu. "Terpaksa mengharungi bukit curam tanpa makanan dan minuman bersih untuk berbulan-bulan," katanya. Murad menambah, berdasarkan apa yang didengar, kebanyakan etnik Rohingya itu sebenarnya ditipu ejen pekerjaan. Beliau mendakwa, mereka yang berada di kawasan sempadan Thailand-Malaysia di Wang Prachan dan Wang Kelian itu dibawa masuk melalui Laut Andaman kira-kira 47km dari Wang Pratchan dan Wang Kelian, di sini. "Itu yang paling dekat dengan sempadan Thailand-Malaysia, selepas merentasi Kawthaung (Myanmar) ke Ranong (Thailand)-Phuket-Phang Nga-Krabi-Trang-Satun," katanya. Beliau juga memberitahu, bot yang membawa mangsa sindiket pemerdagangan manusia sering memantau keadaan laut dan bulan November sehingga Mei biasanya dipilih kerana laut tenang. "Sesampai di pinggir laut Satun, mangsa sindiket ini akan dibawa masuk melalui laluan hutan bagi melepasi pemeriksaaan kastam. "Perjalanan bermula di Wang Park (hutan Thailand) seterusnya ke Wang Prachan dan Wang Kelian yang panjangnya kira-kira 40km. Rasanya mereka terpaksa menghabiskan masa tiga bulan dalam hutan," kata Murad.