KANGAR: Tiga bot dipercayai membawa pendatang tanpa izin dikesan berdekatan Pulau Jarak di Perak, semalam oleh helikopter yang membuat pemantauan di sempadan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim. Berkata berkata, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah diberi maklum dan diarah menggerakkan aset ke lokasi berkenaan. "Kita tahu bahawa lebih ramai akan datang dan kitaminta dan harap negara-negara yang cakap banyak ini menerimalah pendatang-pendatang tanpa izin atau pelarian ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Sukan Sekolah Teknik dan Vokasional di sini, Sabtu. Sejak sebulan lepas, isu pendatang dipercayai dari Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar yang terdampar di dalam bot di perairan selat Langkawi dan Melaka menjadi perhatian dunia. Sebanyak 1,158 daripada mereka dilaporkan telah mendarat secara haram di Langkawi pada 10 Mei lepas,sementara lebih 7,000 lagi dikatakan masih berada di laut dalam usaha mendarat di negara-negara berdekatan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini turut mengarahkan TLDM dan APMM membantu Mercy Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan kepada mereka ini sama ada melalui laut atau darat. Sementara itu, Shahidan yang juga pengerusi Majlis Keselamatan Negara ketika ditanya mengenai jaminan Malaysia itu, berkata etnik Rohingya yang telah ditempatkan di depoh tahanan dalam negara tidak akan diusir dan akan dibenarkan tinggal dalam negara sekurang-kurangnya setahun sebelum dihantar ke tempat lain. Minggu lepas, Thailand, Indonesia dan Malaysia telah mengumumkan hasrat untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pendatang yang berada di laut. Malaysia dan Indonesia juga menawarkan pelindungan sementara kepada pendatang yang terkandas dengan syarat proses penempatan dan penghantaran pulang akan dilakukan dalam masa setahun oleh masyarakat antarabangsa. Rabu lepas,Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebanyak 1,369 pendatang di Depoh Tahanan Imigresen Belantik di sini akan dipindahkan ke empat depoh tahanan lain bagi menyediakan ruang lebih selesa kepada pelarian Rohingya yang baharu tiba. Beliau berkata terdapat 12 Depoh Tahanan Imigresen di Semenanjung dan sekiranya perlu akan digunakan kesemua bagi menempatkan pelarian Rohingya.-- Bernama