PETALING JAYA: Pesakit meminta antibiotik dan doktor pula memenuhi permintaan itu menjadikan ia sebagai punca mengapa Malaysia mempunyai ramai pengguna ubat tersebut. Lebih separuh pesakit di klinik swasta diberikan antibiotik untuk penyakit biasa, malah yang bukan disebabkan bakteria yang dialami mereka. Kebanyakan jangkitan saluran pernafasan (URTI) di bahagian atas badan membawa kepada sakit tekak, demam, selesema dan bantuk yang disebabkan oleh virus tetapi dalam hampir 60 peratus kes, antibiotik diberikan. Ketua Bahagian Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee berkata, sebab tunggal untuk memberikan antibiotik mestilah klinikal. Beliau yang memberi amaran kepada pengamal perubatan yang tunduk kepada tekanan ekonomi daripada pesakit dan pembekal ubat-ubatan, berkata: "Perniagaan tidak boleh beroperasi seperti biasa." Memetik Kaji Selidik Penjagaan Perubatan Kebangsaan 2014 yang melibatkan 27,587 pesakit di 545 klinik swasta dan kerajaan seluruh negara, beliau berkata, hanya 17 peratus pesakit URTI diberikan antibiotik di klinik kerajaan. Bagi kes gastroenteritis (berkaitan perut dan usus), 23 peratus pesakit di klinik swasta diberikan antibiotik berbanding sembilan peratus di hospital kerajaan. Dr Lee berkata, kenaikan kadar bagi jangkitan biasa menggunakan antibiotik itu membimbangkan. Bagi tempoh sedekad lalu, ketahanan bagi antibiotik digunakan untuk merawat gonorea, paru-paru, telinga, darah, otak, saraf tunjang dan jangkitan saluran kencing dan cirit-birit berdarah, meningkat antara 15 peratus dan 50 peratus. Dr Lee berkata, doktor-doktor yang menjadikan pesakitnya supaya bergantung kepada antibiotik akan menyebabkan bakteria membiak. "Jika anda sakit tekak yang disebabkan oleh virus, antibiotik tidak akan menyembuhkan jangkitan itu. "Sebaliknya ia akan membunuh semua bakteria tidak berbahaya yang lain di mana bertujuan untuk menghalang bakteria tidak baik untuk melemahkan sistem badan anda," tambahnya. Bulan lalu, Sunday Star melaporkan mengenai bagaimana rakyat Malaysia menjadi antara pengguna antibiotik paling tinggi di dunia apabila tinjauan terhadap 90 peratus doktor di Selangor memberitahu pesakit mereka mengharapkan antibiotik. Dr Lee berkata, terdapat kempen yang sedang berjalan untuk memberi penerangan kepada doktor-doktor mengenai bagaimana menangani pesakit yang meminta antibiotik. Beliau berkata, pesakit yang diberikan antibiotik pula seharusnya bertanyakan doktor sekiranya ubat itu benar-benar diperlukan. "Soal doktor supaya dia dapat memberikan penjelasan," katanya. Menurut satu kajian mengenai rintangan anti-mikrob baru-baru ini, kematian yang berkaitan dijangka menjadi yang tertinggi di Asia pada 4,730,000 menjelang 2050. "Penggunaan antibiotik adalah terlalu tinggi di sini. Ia merupakan sumber bersama dan ia sepatutnya menjadi tanggungjawab kita bersama. "Jika kita tidak melakukannya sekarang, ia akan membawa ke tahap amaran tidak lama lagi," kata Dr Lee, sambil menambah bahawa kementerian memantau hospital dan klinik kerajaan. Beliau berkata, preskripsi atau permintaan mengenai penggunaan antibiotik yang secara mendadak perlu ditangani segera. "Baru-baru ini, penggunaan antibiotik mahal meningkat secara tiba-tiba di sebuah hospital kecil luar bandar maka kita menyiasat perkara itu. "Dalam sektor awam, kami mempunyai sistem pengawasan tetapi kita tidak boleh memaksa sektor swasta untuk menghantar data kepada kami untuk pemantauan," katanya.