KUALA LUMPUR: Nasi Kuning dan Opor Ayam Kacang yang hanya dihidangkan di Istana Johor akan dapat dinikmati oleh penumpang kelas satu dan perniagaan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) bagi destinasi terpilih mulai Isnin hingga akhir tahun ini. Selain itu, tujuh lagi menu eksklusif dari dapur istana iaitu Nasi Tumpang, 'Beef on Toast', Udang Masak Merah, 'Grilled Beef Tenderloin Patty', Dadar Pahang, Ayam Panggang Johor dan Puding Raja bersama Jala Emas akan turut dihidangkan kepada penumpang dua kelas penerbangan itu. Chef Eksekutif dan Pengurus Makanan dan Minuman Jabatan Dalam Kabin MAS Chef Zahiddin Dris berkata hidangan itu adalah hasil kerjasama pihak MAS dengan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan ianya akan disajikan dalam penerbangan ke destinasi terpilih antaranya London, Paris, Amsterdam, Perth, Auckland, Bangkok dan Jakarta. "Menu Diraja itu akan menampilkan cita rasa Tengku Puan Pahang sekali gus berpeluang memperkenalkan makanan istimewa istana di negara ini ke seluruh dunia," katanya kepada Bernama pada majlis demonstrasi masakan eksklusif dari Dapur Istana oleh Tengku Azizah di Festival Big Kitchen Kuala Lumpur 2015 di Dataran Merdeka di sini, Ahad. Pada majlis itu, Tengku Puan Pahang berpakaian lengkap seperti chef berkenan mencemar duli menghasilkan menu eksklusif Nasi Kuning dan Opor Ayam Kacang yang menggunakan bahan-bahan seperti ayam yang direbus, kacang yang dihancurkan beserta rempah ratus Melayu, santan, beras basmati kunyit, kacang buncis dan bawang. Dengan tidak membataskan kedudukannya sebagai seorang puteri raja, baginda berkongsi resepi dan menunjukkan cara-cara menyediakan hidangan istimewa itu kepada kira-kira 750 pengunjung dari dalam dan luar negara. Sepanjang demonstrasi selama 20 minit itu, Tengku Puan Pahang mengendali ruang masakan dengan kemas dan teratur sekali gus menggambarkan kecekapan baginda dalam memasak. Festival tiga hari, yang berakhir Ahad, dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut menampilkan 20 chef antarabangsa dan tempatan yang memasak 119 resipi secara langsung di hadapan pengunjung. Turut diadakan sepanjang festival adalah lapan perkampungan makanan yang menyediakan 13 gerai makanan mewakili setiap negeri dan menghidangkan 200 jenis juadah oleh 100 gerai jualan. -- BERNAMA