SIBU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelagus, George Anak Lagong berada dalam keadaan kritikal namun stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu selepas terbabit dalam kemalangan di Sebangkoi, kira-kira 10 kilometer dari pekan Sarikei petang Ahad. Menurut Nelson Janting, adik iparnya, George, 55, yang ditemani isterinya Sumi Janting, 50, dan dua anak lelaki mereka dipercayai hilang kawalan ke atas kenderaan pacuan empat rodanya dan terjatuh ke dalam jurang. "George mengalami kecederaan kepala yang serius sementara isteri dan seorang anaknya cedera ringan. Seorang lagi anaknya tidak cedera tetapi terkejut dengan kejadian itu," katanya. Beliau berkata, George dihantar ke hospital dengan ambulans dan beliau menjalani pembedahan selama empat jam. Sumi dan anaknya pula dirawat di Hospital Sarikei. Nelson berkata, George dan keluarganya dalam perjalanan dari Kuching menuju Bintulu bagi menyertai majlis pertemuan Hari Gawai dengan keluarganya. George menang kerusi Pelagus atas tiket Bebas pada pilihan raya negeri pada 2011. Beliau kemudian menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP) sebelum menyertai parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) iaitu parti rakan Barisan Nasional, tetapi kemudian meninggalkannya.