suria

Lukisan Panda Master Dilelong

Rosmah Mansor (tengah) dibantu Liu Jin Quan (dua kanan) dari Xi Quan,China melukis semasa melawat Pameran Seni Lukis Panda Master China di Zoo Negara, Isnin. Turut hadir Presiden Malaysia Zoological Society Datuk Sr Zaharin Md Arif (dua kiri), Pengurus Operasi Art Peninsular Enterprise Daniel Liau Wee Seng (kiri) Pengerusi Jawatankuasa Live Painting with Panda Master Rosli @ Rahmat Ahmad Lana (tiga kanan).

KUALA LUMPUR: Dua lukisan hasil karya pelukis tersohor China yang mengetengahkan panda sebagai fokus utama, akan dilelong pada harga permulaan RM72,000 setiap unit.

Kedua-dua lukisan bertajuk Blessing in the jungle dan Joyful family adalah lukisannya berdasarkan tabiat dan tingkah laku panda menerusi pemerhatian pelukis yang turut dikenali sebagai Panda Master, Liu Jin Chuan.

Jin Chuan berkata, lukisan terunggul yang pernah dihasilkannya itu dipamerkan kepada orang ramai selama seminggu sebelum dilelong.

"Sebahagian besar hasil lelongan lukisan itu akan didermakan kepada Tabung Dana Zoo Negara bagi membantu usaha penjagaan dan pemuliharaan haiwan di sini," katanya ketika ditemui di sidang media majlis perasmian Pameran Seni Lukis Pelukis Tersohor China di Zoo Negara di sini, pada Isnin.

Pameran yang keseluruhannya melibatkan 60 lukisan itu dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menjelaskan lebih lanjut, Jin Chuan berkata, beliau bangga kerana dapat mengadakan pameran di Malaysia dan mempromosikan hasil karyanya yang sebahagian besar berkaitan panda.

"Saya jarang mengadakan pameran, jadi semestinya berbangga dan gembira kerana ini merupakan kali pertama saya mengadakan pameran di sini, mungkin juga yang pertama di Asia Tenggara," katanya.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor ketika berucap pada majlis tersebut berkata, pihak pentadbiran zoo berkenaan perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menganjurkan aktiviti bagi menarik pengunjung pada masa hadapan. 



Liu Jin Chuan, China, panda

Artikel Lain