suria

Polis Dapat Kebenaran Guna Laluan Thailand Bagi Operasi Gali Kubur

KANGAR: Polis Diraja Malaysia telahpun mendapat kebenaran daripada polis Thailand untuk menggunakan laluan mereka bagi memulakan operasi menggali kubur di hutan simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh. 

Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata sebanyak 91 kubur dikenal pasti di kawasan tersebut dan operasi menggali akan bermula Rabu ini.

"Jarak kem transit itu agak jauh dari kem di Wang Kelian. Operasi di Wang Kelian telah berakhir dan pasukan polis serta forensik akan berehat dulu sebelum memulakan operasi Rabu nanti," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Shafie berkata tempoh perjalanan menggunakan laluan di Ban Talok, Thailand mengambil masa kira-kira satu jam kerana kawasannya tidak securam di laluan Wang Kelian yang mengambil masa lebih dua jam.

Ditanya bagaimana mayat yang digali akan dibawa turun, Shafie berkata belum pasti lagi sama ada menggunakan laluan darat atau helikopter.

Pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendedahkan kem transit baharu itu terletak 100 meter dari sempadan Thailand dan masih belum dimasuki pasukan polis dan forensik.

Kem itu kini dikawal rapi Pasukan Gerakan Am bagi memastikan tiada pihak mencuri bahan bukti dan sehingga pihak forensik serta polis mengenal pasti perkara yang berkaitan.

Gali kubur, Mata Ayer

Artikel Lain