PUTRAJAYA: Mana-mana menteri Kabinet yang tidak sehaluan dengan kepimpinan yang diterajui Perdana Menteri patut disingkirkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga bertindak sedemikian apabila menteri-menteri di bawah pentadbirannya dahulu tidak setuju dengan apa yang beliau putuskan dalam sesuatu isu. Justeru, beliau menggambarkan Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan melakukan tindakan sama dengan memecat mana-mana menteri yang tidak bersetuju dengan cara beliau mengendalikan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB). "Saya kalau jadi Najib saya buang sajalah orang yang tak suka dengan saya...saya buang. "Dulu pun saya buang banyak orang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan penulisan esei dan foto 2015 anjuran Yayasan Maybank dan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Isnin. Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai beberapa menteri dan pemimpin parti yang mengkritik cara Najib menangani isu 1MDB dan terus mendesak agar beliau memecat ahli lembaga pengarah 1MDB. Antara yang membuat gesaan dan memberi pandangan sedemikian termasuklah timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata Perdana Menteri tidak harus mengambil sikap 'tunggu dan lihat' dalam isu ini kerana ia akan dijadikan modal politik pembangkang dan menyebabkan pentadbiran kerajaan tumbang. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan juga bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin bahawa penyingkiran ahli lembaga pengarah 1MDB dapat meredakan kebimbangan orang ramai mengenai skandal itu. Turut berpandangan sama adalah Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang turut menggesa agar polis menyiasat syarikat tersebut. Sementara itu, veteran Umno dan juga bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah berkata, seluruh Kabinet perlu bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB. Tengku Razaleigh ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, seluruh Kabinet perlu bertanggungjawab kerana bebannya bukan terletak di bahu perdana menteri sahaja.