KOTA BARU: Calon tunggal yang bertanding menentang Presiden PAS, Ahmad Awang kini berhadapan cabaran apabila tidak dibenarkan memberi ceramah agama di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka pada Isnin malam. Penganjur, Dr Rosli Alani Abdul Kadir mendakwa, adik kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Din membantah kehadiran Ahmad. "Saya tidak faham kenapa Ahmad dihalang daripada menghadiri majlis ceramah itu sedangkan arwah Tok Guru tidak pernah berbuat demikian. "Lagi pun ustaz Ahmad tidak menggunakan pentas itu untuk tujuan politik atau berkempen," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS di sini ketika dihubungi pada Selasa. Majlis ilmu itu dianjurkan anak Nik Abdul Aziz sendiri iaitu Nik Omar. Ahmad, bekas Pesuruhjaya PAS Perak akan bersaing satu lawan satu dengan penyandang jawatan nombor satu parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 6 Jun ini. Dr Rosli Alani menambah, tindakan menghalang Ahmad memberi ceramah di masjid itu tidak seiring dengan amalan Tok Guru yang sentiasa memberi penekanan mengenai pentingnya ilmu dalam Islam. "Masjid tidak seharusnya digunakan untuk tujuan lain kecuali ceramah agama, lebih-lebih lagi ustaz Ahmad dijemput oleh ahli keluarga Tok Guru sendiri," katanya. Difahamkan Nik Din membantah kehadiran Ahmad kerana bimbang ceramah itu akan digunakan untuk berkempen. Sehubungan itu, Nik Omar mematuhi permintaan bapa saudarannya bagi mengelak timbul sebarang kontroversi. Bagaimanapun, kedua-dua Nik Din dan Nik Omar atau Ahmad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen masing-masing.