suria

Pemuda PAS: Perwakilan Tak Cukup Kuorum, Muktamar Tertangguh Lebih Sejam

Perwakilan Pemuda PAS yang kecil menyebabkan sesi perbahasan muktamar sayap parti itu tertangguh lebih sejam.

SHAH ALAM: Sesi perbahasan Muktamar Pemuda PAS yang dijadualkan berlangsung pada malam Selasa tidak dapat bermula tepat pada waktunya kerana jumlah perwakilan "tak cukup kuorum".

Mengikut jadual, perbahasan sepatutnya bermula pukul 8.15 malam dengan ucapan aluan Pengerusi Tetap, Kamal Ashaari tetapi ia tertangguh kira-kira sejam kerana jumlah perwakilan yang kecil.

Sehingga pukul 8.50 malam, Pengerusi Tetap mengumumkan 135 lagi perwakilan diperlukan untuk mencukupkan kuorum bagi membolehkan ucapan aluan diberikan, seterusnya memulakan perbahasan.

Namun, setakat pukul 9.07 malam, acara masih tidak dapat diteruskan, menyebabkan Pengerusi Tetap terpaksa menjemput wakil pemerhati dari luar negara memberikan ucapan kepada perwakilan yang menunggu di Auditorium, Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini.

Terdahulu, sebelum wakil berkenaan naik ke pentas, Kamal sempat menyatakan kekesalannya dengan situasi itu.

“Saya berhajat untuk tamatkan sesi ini pada pukul 11 malam sahaja. Tunggu lama-lama pun salah kita, datang pun lambat, sendiri lambat sendiri tanggunglah.

“Saya tak boleh mulakan ucapan aluan kerana muktamar memerlukan seramai 370 perwakilan termasuk Exco. Jadi saya teruskan agenda sampingan sementara menunggu kehadiran perwakilan,” katanya.

Pada pukul 9.15 malam, Kamal akhirnya mengumumkan bahawa jumlah perwakilan telah mencukupi namun sekali lagi menyuarakan  ketidakpuasan hatinya.

“Di atas kepercayaan kiraan yang tepat, maka dengan ini Alhamdulillah pada pukul 9.15 malam jumlah perwakilan mengizinkan untuk perjalanan muktamar dilakukan.

“Namun apakah ini gambaran yang nak diberikan kepada masyarakat bahawa ini yang kita nak lalui untuk memulakan muktamar selepas satu jam?.

“Mudah-mudahan ini menjadi pengajaran dan iktibar, selaras ucapan Ketua Pemuda yang mempersiap generasi kemenangan dalam muktamar kali ini,” katanya.


Pemuda PAS, kuorum, Kamal Ashaari

Artikel Lain