SHAH ALAM: Isu penyatuan PAS dan Barisan Nasional (BN) masih diperkatakan sehingga kini kerana terdapat ‘lidah setan’ dalam jemaah PAS, tegas perwakilan dari Perlis. Azhari Osman berkata, masih terdapat ahli dan pimpinan dalam parti yang masih percaya bahawa PAS dan BN akan bergabung membentuk kerajaan sehingga menimbulkan huru-hara dalam parti. "Di peringkat Pemuda, saya berasa kecewa kerana ada sesetengah ahli Pas bahkan pimpinan sendiri yang menjadi 'lidah setan' dalam jemaah kita. "Institusi Pas yang tertinggi iaitu Majlis Syura telah mempertegaskan bahawa tidak ada sebarang usaha menggabungkan Pas dengan Umno. Bahkan Tuan Guru Hadi Awang telah mempertegaskan dalam setiap program PAS dalaman atau luaran bahawa tidak ada usaha untuk menggabungkan PAS dengan Umno," katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda di sini, Rabu. Beliau berkata, golongan seperti ini yang telah menimbulkan hura-hara dalam dalam jemaah PAS. Sementara itu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dalam perbahasannya membidas tindakan Pemuda PAS Pusat yang ‘diam seribu bahasa’ dan gagal mempertahankan Abdul Hadi apabila dikritik hebat oleh DAP. Malah, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut. "Dia (DAP) menyerang dan menghina presiden PAS. Pemuda diam bisu beribu bahasa. Ini bukan simbol anak soleh yang melihat bapanya dihina. "Ini bukan sifat pemuda beriman tetapi pengecut," katanya ketika membahaskan ucaptama ketua pemuda.