suria

Keluarga Masih Derita Walau Punca Sebenar Kematian Di Festival Muzik Terjawab

Kamal Syahril Kamal Basha, menunjukkan gambar bersama adiknya, Allahyarham Kamal Zekry Kamal Basha. Foto GLENN GUAN/The Star

PETALING JAYA: Keluarga kepada dua orang remaja yang meninggal dunia akibat strok haba ketika menghadiri Future Music Festival Asia (FMFA) tahun lalu lega apabila dimaklumkan punca sebenar kejadian itu.

Mereka mengakui terpaksa menanggung malu berikutan kenyataan polis ketika itu mendedahkan kedua-dua remaja berkenaan meninggal dunia kerana mengambil dadah secara berlebihan.

Ahli keluarga kepada Kamal Zekry Kamal Basha, 22, dan Sabreena Kamaruddin, 21, berkata, keluarga mereka telah melalui tempoh sukar yang tidak dapat dibayangkan.

Reputasi orang yang disayangi dicemari dengan fitnah yang disebarkan di laman sosial dan juga laporan akhbar berhubung kejadian itu.

Keluarga itu juga mendakwa pihak polis tidak pernah memberi maklumat terkini selepas perjumpaan kali pertama.

"Tetapi saya tidak pernah meragui kakak saya. Setahu saya dia tidak pernah mengambil dadah," kata adik Sabreena itu Amirul Aftar.

"Dia seorang yang pemalu, malah mengambil tempahan daripada penghantar pizza sudah dianggap sebagai sesuatu yang menakutkan buatnya.

"Sabreena adalah seorang pelajar sains komputer dan pergi ke festival muzik itu bersama rakan-rakannya dan mereka kini menjauhkan diri daripada keluarga saya selepas kematiannya," kata Amirul.

Menurut Amirul, keluarganya menjalani kehidupan yang menyeksakan dan kehilangan ramai teman disebabkan stigma yang melanda susulan daripada kenyataan pihak polis bahawa Sabreena maut kerana mengambil dadah secara berlebihan.

"Kakak saya seperti dipersalahkan," katanya dengan nada kesal.

"Saya ingin tahu mengapa polis menggunakan kematian adik saya untuk menutup konsert lain?".

Sementara itu, Kamal Syahril berkata, adiknya Kamal Zekry, merupakan pemain ragbi negeri tidak akan menamatkan hidupnya dengan mengambil dadah.

"Dia tidak pernah menyentuh rokok," kata pemain berusia 28 tahun itu.

Zekry adalah anak bongsu dalam keluarga dan merupakan pelajar dalam jurusan perniagaan.

"Nama timangannya adalah Eky dan beberapa akhbar berbahasa Melayu menyiarkan gambar Eky selepas dia meninggal dunia, dengan tajuk 'perosak bangsa'.

"Saya begitu marah apabila membaca komen-komen di Facebook mengenai Eky. Orang kata, lebih baik dia mati kerana telah memalukan bangsanya.

"Saya akan menjawab balik. Apa lagi yang boleh saya lakukan? Semua orang mengatakan adik saya meninggal dunia akibat pengambilan dadah secara berlebihan. Pihak polis dan media semuanya berkata begitu," kata Syahril.

Kini pakar patologi yang melakukan bedah siasat ke atas mereka memberi keputusan yang benar.

Katanya, pihak keluarga dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah 'mempersendakan' kematian adiknya.

Syahril berkata, selepas kematian Zekry, dia melalui saat sukar kerana terlalu rindukannya. 

Beberapa malam Syahril tidur di bilik tidur adiknya, dan berharap dapat bermimpikan mereka lepak dan berborak bersama seperti kebiasaannya.

Perasaan rindu turut sama dirasai Amirul terhadap kakaknya, Sabreena.

"Saya sentiasa merasakan seolah-olah dia akan muncul dan memberitahu apa yang berlaku sekadar satu permainan dan dia sebenanya tidak pergi (meninggal dunia)," katanya.

Menurut Amirul, dia kadang-kadang terjaga pada waktu tengah malam dan merasakan seolah-olah kakaknya berada di dalam bilik.

"Ia berlaku sekali lagi pada malam Ahad lalu. Keesokan hari, saya membaca laporan berita mengenai punca sebenar kematiannya," kata Amirul.

FMFA, mati mengejut, panas

Artikel Sebelum

Artikel Lain