suria

Suhaizan Dah Jangka Kalah

Nik Abduh dan Suhaizan (kanan) berpelukan selepas diumumkan keputusan pemilihan Ketua Pemuda PAS, Rabu.

SHAH ALAM: Tewas kepada pencabar tunggalnya, Suhaizan Kaiat mengakui sudah menjangka kekalahannya berdasarkan tempoh singkat 18 bulan memimpin sayap parti itu.

Malahan, katanya, kewujudan dua ‘blok’ dalam Pemuda PAS iaitu kumpulan progresif dan pro ulama juga menyumbang kepada keputusan pemilihan tahun ini.

Bagaimanapun, beliau tetap menghormati keputusan perwakilan memilih pencabarnya itu.

“Saya hormati keputusan yang dibuat perwakilan dan itulah kehendak mereka.

“Saya sebagai pemimpin kalau dipilih, saya laksanakan tugas, dan kalau tak dipilih, secara peribadi saya relakslah,” katanya ketika ditemui selepas selesainya muktamar sayap itu, Rabu.

Beliau menambah, setiap pendekatan yang digunakan oleh seorang pemimpin adalah berbeza.

“Pendekatan saya adalah melihat masalah dalam Pakatan Rakyat untuk menyatukan parti, rakyat mahu kita bersatu dan itu merupakan amanah.

“Saya rasa amanah itu harus dipelihara dan bagaimana kita boleh berkerjasama. Barangkali pendekatan itu tidak popularlah,” katanya.



Artikel Lain