KUALA SELANGOR: Selepas 'dipukul' teruk oleh perwakilan dan pimpinan PAS pada Rabu, tiada kelibat pemimpin tertinggi DAP hadir pada majlis perasmian persidangan Muktamar Tahunan PAS Ke-61 yang berlangsung di Stadium Tertutup di sini, Khamis. Sebaliknya perasmian persidangan ini hanya dihadiri Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor. Ketiadaan DAP seolah-olah memberi gambaran hubungan PAS dengan rakan sekutunya itu bagai retak menanti belah. Tumpuan pada persidangan ini pastinya terarah kepada usul tergempar supaya parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP. Usul tergempar yang dibawa Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik itu pada Rabu diluluskan sebulat suara tanpa bahas. Usul tersebut juga akan menentukan status pakatan pembangkang dalam tempoh beberapa hari akan datang. Bagaimanapun, dewan itu mahu PAS kekal dalam Pakatan Rakyat bersama PKR. Kini, keputusan terletak di tangan PKR sama ada memilih untuk bersama PAS atau DAP.