suria

Operasi Gali 91 Kubur Baru Pelarian Bermula

KUALA LUMPUR: Operasi menggali 91 kubur fasa kedua di Hutan Simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh, Perlis yang bermula pada Khamis dijangka dapat diselesaikan Rabu depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lapan kenderaan membawa pasukan forensik dan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasuki kawasan tersebut bagi operasi tersebut.

"Insya-Allah, kami berharap operasi ini dijangka dapat diselesaikan sebelum Rabu depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Kelab Kebajikan dan Sukan PDRM (KKS PDRM) 2015.

Pada majlis itu beliau turut menyerahkan bendera Sang Saka Biru kepada kontinjen PDRM yang menyertai kejohanan 'Police and Fire Games 2015' di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, Khamis.

Setakat ini, 35 bungkus rangka mayat telah dikeluarkan daripada penemuan 139 kubur di 28 kem transit yang dipercayai ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia bemula di Kampung Wai, Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar berhampiran sempadan Malaysia-Thailand sejak ia dikesan 25 Mei lepas.

Kesemua rangka manusia itu ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk siasatan patologi.

Menyentuh mengenai dalang yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di kawasan hutan Wang Kelian, Khalid tidak menolak penglibatan rakyat tempatan dalam membantu warga Rohingya yang dikenali sebagai 'Yassin' yang disyaki ejen dalam sindiket tersebut.

"Kami percaya sindiket itu mempunyai 'link' dengan orang dalam dan pihak polis masih memburu mereka," katanya.

Khalid bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut rakyat Malaysia yang membantu Yassin itu sama ada anggota penguat kuasa atau rakyat biasa.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya dapat melaporkan kepada balai polis berdekatan dengan segera supaya tindakan dapat diambil.

Mata Ayer, Rohingya

Artikel Berikut

Artikel Lain