PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa pihak berwajib supaya mengeluarkan pekeliling bagi menguatkuasakan penggunaan akuan penerimaan (AP) berhubung pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing di negara ini. Desakan itu termasuk menyediakan garis panduan lengkap mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi proses permohonan antara majikan dan pihak berwajib. Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, walaupun polis sedia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menerima pakai AP sebagai dokumen gantian sementara menunggu pelekat PLKS tetapi ketetapan itu perlu dibuat secara rasmi supaya pelaksanaannya lebih seragam. "Apa yang menteri dan pihak atasan polis katakan mengenai AP masih boleh menimbulkan masalah sekiranya tiada pelaksanaan dari segi memperakuinya sebagai dokumen yang sah. "Masalah ini akan timbul antara polis dan Imigresen, juga agensi penguatkuasaan lain sekiranya tiada pekeliling mengenai akuan penerimaan ini," katanya kepada mStar Online. Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan AP sebagai dokumen gantian yang sah sehingga pelekat PLKS baharu dikeluarkan, manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memberi jaminan untuk menyelesaikan kekeliruan berhubung isu penahanan pekerja asing ketika proses pembaharuan pas berkenaan. Shamsuddin berkata, pekeliling juga perlu menyertakan SOP tentang prosedur sebenar yang seharusnya dipatuhi majikan bagi memperbaharui PLKS. Ini bermakna katanya, sama ada Imigresen atau penyedia perkhidmatan perlu menetapkan tempoh masa untuk permohonan dan pengeluaran pelekat PLKS. "Pihak berwajib perlu memaklumkan bilakah selewat-lewatnya majikan perlu memperbaharui PLKS supaya pengeluaran pelekat PLKS dapat disegerakan tanpa sebarang kelewatan. "Dan mereka juga perlu maklumkan tempoh rasmi pengeluaran pelekat PLKS itu dapat dilakukan sekiranya majikan membuat permohonan awal," katanya sambil menambah walaupun permit pekerja asing di bawah tanggungjawab majikan tetapi pihak berwajib perlu menyediakan garis panduan lengkap supaya proses pembaharuan permit berjalan lancar. Laporan mStar Online sebelum ini memetik Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Farah Adura Hamidi sebagai berkata, pembaharuan PLKS perlu dibuat lebih awal dan bukannya 24 jam sebelum tamat tempoh. Ini kerana katanya, hal berkaitan pemeriksaan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dan proses memperbaharui pasport pekerja asing bagi segelintir negara mengambil masa serta majikan perlu menyelesaikan urusan penguatkuasaan terlebih dahulu bagi pekerja asing tinggal lebih masa. Difahamkan, majikan perlu memperbaharui PLKS sekurang-kurangnya setahun sebelum pasport pekerja asing tamat tempoh terutama di negara-negara sub-kontinen dan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum permit tamat tempoh. Turut difahamkan, SOP bagi pengeluaran PLKS adalah tujuh hari bekerja sekiranya semua dokumen berkaitan lengkap dikemukakan majikan semasa membuat permohonan. Shamsuddin berkata, SOP terutama dari segi tempoh masa seharusnya munasabah supaya tidak membebankan majikan yang berusaha untuk mendapatkan khidmat pekerja asing secara sah. Beliau menambah, pekeliling dan SOP itu juga akan dijadikan sebagai rujukan sekiranya terdapat masalah melibatkan pekerja asing dan agensi penguatkuasaan terutama polis pada masa akan datang. "Sebagai contoh, pihak berwajib perlu menyatakan kesahihan AP sebagai dokumen gantian sementara. Apakah mekanisme yang boleh dilakukan polis supaya pekerja asing dapat dibebaskan serta-merta selepas majikan tampil mengemukakan segala dokumen termasuk AP. "Dan apakah pengesahan yang dibuat pihak polis sekiranya penahanan berlaku pada hujung minggu atau cuti umum. Apakah ada sistem seragam antara polis dan Jabatan Imigresen?," soalnya sambil merujuk kebiasaannya pekerja asing hanya membawa salinan dokumen manakala dokumen asal disimpan majikan bagi mengelakkan ia daripada hilang. Isnin lalu, mStar Online turut melaporkan mengenai persoalan yang dibangkitkan pihak polis berhubung kesahihan AP dan apakah tindakan yang perlu dilakukan mereka sekiranya penahanan pekerja asing berlaku pada hujung minggu atau cuti umum.