PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat seorang pengusaha syarikat pembalakan berhubung tawaran rasuah RM1 juta kepada pegawai SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung. Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Rohaizad Yaakob berkata, rasuah itu supaya SPRM dan Jabatan Perhutanan tidak meneruskan siasatan terhadap aktiviti pembalakan di luar kawasan yang dilesenkan di Hutan Simpan Temenggor, Gerik, Perak. "Bagaimanapun, kedua-dua pegawai terbabit menolak tawaran rasuah dan melaporkan kepada SPRM," katanya, Khamis. Susulan itu, pengusaha balak berusia 36 tahun terbabit ditahan reman selama empat hari oleh Majistret Rahimah Rahim untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009. Terdahulu, lelaki yang telah membayar habuan berjumlah RM500,000 kepada pegawai SPRM dan Jabatan Perhutanan itu ditahan di sebuah restoran makanan segera di Meru, Ipoh. Kata Rohaizad, semua pihak wajar mencontohi tindakan pegawai SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung itu. "SPRM mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pegawai tersebut yang berpegang teguh kepada integriti dan sanggup menolak tawaran rasuah yang bernilai RM1 juta," katanya. Tambahnya lagi, pengurusan tertinggi SPRM berpandangan, komitmen pegawai agensi penguatkuasaan dalam memperlihatkan budaya berintegriti tinggi dapat meningkatkan keberkesanan tindakan mencegah rasuah di negara ini. "SPRM melihat pendirian kedua-dua pegawai terbabit sebagai tindakan yang harus dipuji dan ia juga bukti kejayaan usaha memupuk nilai berintegriti di kalangan anggota agensi penguatkuasaan," katanya. Beliau berkata, Jabatan Perhutanan Semenanjung adalah salah satu agensi kerajaan di mana pegawai SPRM diletakkan sebagai Ketua Pegawai Integriti dalam usaha untuk mengukuhkan budaya berintegriti.