Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail berkata tapak yang digali itu dikenali sebagai Kubur 24 dalam kawasan Malaysia, terletak kira-kira 100 meter dengan garisan sempadan Malaysia/Thailand.
"Dua dari 12 kubur itu mengandungi dua mayat. Kesemua mayat ditemui dalam keadaan dikafan dengan sempurna," katanya semasa dihubungi dan menambah Kubur 24 mempunyai 91 kubur.
Sebelum itu sebanyak 35 mayat telah dikeluarkan dari Bukit Wang Burma di Wang Kelian setelah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem di percayai menjadi kem transit sindiket pemerdagangan manusia pada 25 Mei lepas.
Semua mayat tersebut terus dibawa dengan kenderaan polis ke Hospital Sultanah Bhiayah di Alor Setar untuk ujian patologi, tambahnya.
Menurut Shafie sekiranya cuaca baik penggalian baki 79 kubur di Kubur 24 dijangka selesaikan Selasa ini.
Katanya halangan utama untuk membawa turun mayat adalah bentuk muka bumi kawasan terbabit yang berbatu dan curam manakala helikopter tidak dapat digunakan untuk tujuan itu.