suria

Dialog Batal: Media 'Serbu' Majlis PM Sebelah Petang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia (Same) Jabatan Perdana Menteri dan Skim Pembiayaan Usahawan (PKS) Kaum Cina, Jumaat. Turut hadir Menteri Pengangkutan merangkap Penaung Koperasi Jayadiri Malaysia Sdn Bhd (Kojadi) Datuk Seri Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke majlis pelancaran Sekretariat Kemajuan Usahawan Malaysia (Same) di sini dinanti-nantikan wakil media.

Kebanyakan media hadir ke majlis yang bermula pukul 3 petang itu untuk mendapatkan reaksi beliau mengenai ketidakhadirannya pada program dialog bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang dijadualkan pada pagi Jumaat.

Malah, penganjur program tersebut terpaksa membuka dewan bersebelahan dengan Galaxy Banquet Hall di sini kerana majlis ini didakwa kononnya mendapat sambutan yang 'luar biasa'.

Sebaik sahaja selesai merasmikan program tersebut, Najib yang diiringi pengawal peribadinya bergegas meninggalkan majlis.

Najib sekadar menoleh ke arah wartawan yang memanggilnya untuk mendapatkan reaksi mengenai majlis ini.

Malah, pergerakan beliau dikawal ketat dan lorong yang menghubungkan sebuah bilik mesyuarat ke bangunan sama turut ditutup.

Seorang petugas pengurusan Galaxy Banquet Hall sekadar memberitahu pihak media bahawa perdana menteri ada mesyuarat khas tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Namun, media masih tidak berganjak di hadapan lorong tersebut sehingga diminta beredar oleh petugas tersebut.

Pihak penganjur pula memaklumkan sidang media bersama Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong akan diadakan sejurus selepas majlis tetapi dibatalkan pada saat akhir.

Terdahulu, Najib tiba di dewan kira-kira pukul 3.45 petang dan sambutan yang diberikan sederhana sahaja.

Malahan, ketika menyentuh soal percukaian dalam ucapannya, Najib sendiri bagaikan terasa apabila tiada reaksi daripada tetamu yang hadir.

"Saya bangga bersama-sama anda di majlis ini. Saya berharap program ini akan berjaya. Jika anda berjaya, sokong kerajaan dengan bayar cukai. Tiada reaksi? Kita akan bantu tambahkan dana," kata sambil disambut dengan gelak tawa tetamu yang hadir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain