suria

'Jahat' Guan Eng Tak Perlu Sampai PAS-DAP 'Bercerai'

KUALA SELANGOR: Walaupun sikap Lim Guan Eng menyerang peribadi Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh dianggap 'jahat', namun ia tidak sampai ke tahap perlu memutuskan hubungan dengan DAP.

Pandangan itu dinyatakan perwakilan PAS Pulau Pinang, Khalid Man berhubung isu tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara dua sekutu pakatan pembangkang itu.

"Kalau kita nak kata Lim Guan Eng tu jahat, boleh kita kata sebab dia serang peribadi Tuan Guru (Hadi), tetapi janganlah sampai hendak putus silatulrahim.

"DAP maki hudud apa sahaja pun saya tidak marah sebab mereka bukan orang Islam tetapi bila serang Presiden kita, kami tersentap.

"Kerajaan Pulau Pinang baik, tetapi kalau baik pun ada yang cacat. Yang cacat itu janganlah dijaja, sembunyilah," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini, Jumaat.

Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat pada Rabu lalu sebulat suara meluluskan tanpa bahas usul supaya parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Namun Dewan berkenaan menegaskan akan terus menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat.

Berdasarkan usul berkenaan, Dewan Ulama PAS Pusat kesal dengan cara DAP ‘menceroboh’ urusan parti itu menerusi beberapa dasar perjuangannya, terutamanya pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.

Dakwa mereka, sikap DAP yang mencampuri dan mempengaruhi ahli-ahli parti untuk memilih barisan kepemimpinan yang baharu supaya menepati selera mereka dan mesra dengan dasar Pakatan Rakyat turut mengecewakan PAS.

Usul berkenaan dijangka dibentangkan pada Muktamar PAS yang akan bersambung Sabtu.


Lim Guan Eng, DAP, Khalid Man

Artikel Berikut

Artikel Lain