RANAU: Jenazah Robbi Sapinggi, 30, malim gunung yang terkorban dalam kejadian gempa bumi Jumaat lepas, selamat disemadikan di tanah perkuburan Kiau Nulu, dekat sini Ahad. Mendiang disemadikan kira-kira 3 petang dengan dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan sahabat handai. Abang mendiang, Billy Sapinggi, 32, berkata pemergian adiknya memberi kesan yang mendalam terhadap mereka sekeluarga. "Kami sangat terkejut dengan pemergian mendiang. Kami tidak menyangka kejadian gempa bumi itu mengorbankannya. "Kami sekeluarga tetap menerima takdir yang menimpa mendiang dan kami berharap mendiang dapat bersemadi dengan tenang di sana," katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian di perkuburan Kristian itu. Sementara itu, Billy yang juga bekerja sebagai malim gunung berkata, kejadian yang menimpa mendiang adiknya itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja sebagai malim gunung. "Selepas ini saya akan terus berkhidmat sebagai malim di Gunung Kinabalu," katanya.