suria

Abu Mayat Mangsa Gempa Bumi Tiba Di Pulau Pinang

Anggota keluarga yang dipercayai ibu mendiang Lim Choon Seong,45, memeluk beg yang mengandungi abu anaknya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Selasa.

GEORGE TOWN: Abu mayat mangsa gempa bumi di Sabah, Lim Choon Seong selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat pada Selasa.

Abu mayat Lim, 45, yang diletakkan di dalam beg yang dibawa oleh seorang wanita dipercayai ibu Lim diterbangkan dari Sabah dengan pesawat Air Asia AK 5323 tiba di LTAPP pada 4.35 petang.

Turut kelihatan mengiringi abu mayat mendiang adalah seorang wanita dipercayai isteri dan anak lelaki Lim yang berusia enam tahun.

Setibanya di balai ketibaan LTAPP, ibu Lim yang memakai baju berwarna biru dan seluar panjang berwarna gelap dilihat menitiskan air mata dan cuba mengelak sekumpulan pemberita dan jurugambar yang menunggu di lapangan terbang itu sejak pagi tadi.

Usaha pemberita untuk menemu bual anggota keluarga mangsa gagal apabila ketiga-tiga mereka bergegas meninggalkan lapangan terbang itu, sebelum menaiki kenderaan yang menunggu di luar.

Difahamkan abu mayat mendiang akan disemadikan di Air Itam, di sini.

Setakat ini, 16 orang disahkan terkorban dalam gempa bumi yang berlaku pada7.15 pagi itu.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi Jumaat lepas, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda kawasan Ranau di Sabah, menjadikannya gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Gempa bumi sederhana itu disusuli gegaran kecil yang turut dirasai di empat kawasan lain iaitu Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Abu mayat mangsa gempa bumi

Artikel Lain