suria

Gempa Sabah: Fandi Ziarah Jenazah Pemain Pelapis Singapura

Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay.

SINGAPURA: Bintang bola sepak, Fandi Ahmad hadir menziarahi jenazah Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay, salah seorang murid Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Sabah pada Jumaat lalu.

Ameer, 12, yang juga salah seorang daripada 29 murid sekolah tersebut yang menyertai lawatan sambil belajar ke Gunung Kinabalu, merupakan pelapis pemain bola sepak muda di Akademi Bola Sepak F-17 milik Fandi.

"Saya terkejut apabila terdengar berita ini. Dia pemain berbakat," katanya.

Fandi hadir bersama dua anak lelakinya, Ilhan, 11 dan Iryan, 8, menziarahi jenazah Ameer di Masjid Baalwi dekat Bukit Timah di sini, Isnin.

"Pasukan berada di sana untuk memberikan sokongan. Saya juga membawa bersama dua anak lelaki saya. Semuanya, pasukan dan ahli keluarga hadir. Ia amat menyedihkan," kata Fandi.

Ketika ditanya apa yang menarik mengenai Ameer, Fandi berkata:" Dia pemain yang berbakat, bersemangat tinggi dan ingin tahu mengenai apa sahaja.

"Untuk seseorang yang masih muda, dia mempunyai kemahiran teknikal yang sangat baik. Dia pemain sayap yang bagus, dia dalam proses untuk membesar dan kami memantau potensinya dalam tempoh beberapa tahun.

"Dia sangat ceria. Sentiasa tersenyum dan itu amat penting dalam bola sepak.

"Anda boleh melihat dia benar-benar sukakan sukan ini.

Fandi berkata dia turut berbual dengan bapa Ameer, Mohd Adeed Sanjay ketika menziarahi jenazah.

"Dia kata kepada saya, "Fandi, kami akan sentiasa menyokong pasukan (F-17). Ia amat bermakna kepada kami. Itu jelas menunjukkan sokongan ibu bapa Ameer terhadap impiannya dan sukan tersebut.

gempa Sabah, Fandi, TKPS

Artikel Lain