PETALING JAYA: Seorang wanita yang memakai skirt di atas paras lutut kecewa dengan layanan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memintanya supaya memakai kain sarung untuk menutup aurat. Suzanna G.L. Tan menyiarkan sekeping gambar dia memakai blaus dengan skirt pendek semasa pergi ke pejabat JPJ untuk urusan pertukaran hak milik keretanya yang telah dijual. Dia turut memuat naik sekeping lagi gambar yang menunjukkan dia memakai kain sarung di kaunter JPJ. Ketika dia di kaunter untuk mendapatkan nombor giliran, Suzanna mendakwa dia diarahkan untuk memakai kain sarung yang diberikan kepadanya atau urusannya tidak akan dilayan. "Saya tidak tahu sama ada saya patut ketawa atau menangis," kata Tan yang enggan mendedahkan lokasi pejabat JPJ tersebut. Tindakan tersebut turut mencetuskan kemarahan beberapa pengguna di laman Facebook. "Saya rasa JPJ begitu biadap kerana memalukan orang dengan cara sedemikian. Dia bukannya seperti memakai bikini," tulis Syazalia Razali. Seorang pegawai perhubungan awam JPJ berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut. "Kami sedang menyiasat bila dan dimana insiden itu berlaku. Sekiranya kami tahu dimana ia berlaku, kami mahu laporan daripada pegawai tersebut," katanya. Ketika ditanya sama ada terdapat etika berpakaian untuk pelanggan JPJ, pegawai tersebut berkata:"Kita harus berpakaian mengikut etika berpakaian ketika berada di premis kerajaan. Di beberapa pejabat kami, terdapat papan tanda kod berpakaian yang diletakkan di dinding pejabat. Saya percaya terdapat satu di pejabat ini. JPJ menyiarkan notis di laman Twitternya pada malam Isnin menyatakan, pelanggan harus mematuhi etika berpakaian yang ditetapkan. "Pelanggan dilarang daripada memakai seluar pendek, skirt dibawah paras lutut, blaus tanpa lengen, skirt ketat dan selipar," menurut notis tersebut.