KUNDASANG: Kira-kira 230 malim gunung teruja berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di sini bagi meninjau kesan gempa bumi yang berlaku Jumaat lepas dan melawat mangsa bencana itu. Julhimat Sihan, 37, berkata beliau dan malim gunung yang lain telah berkumpul di perkarangan Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu sejak pukul 7 pagi kerana tidak sabar untuk bertemu pemimpin nombor satu negara itu. Azuwan Abdulah, 47, yang berasal dari Kedah dan bekerja sebagai malim gunung sejak 10 tahun lepas berkata lawatan Najib itu menunjukkan keprihatinan beliau dan kerajaan terhadap apa yang berlaku di sini. "Saya sangat gembira dan berterima kasih kerana banyak pihak terutamanya perdana menteri turun untuk memberikan pelbagai bantuan kepada semua yang terlibat dalam kejadian gempa bumi baru-baru ini. "Sokongan daripada semua pihak adalah satu penghargaan besar buat kami dania adalah pembakar semangat untuk terus menjadi malim gunung," katanya.