suria

Kerajaan Ambil Alih SRC, Tiada Bayaran Tunai Kepada 1MDB

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membuat sebarang pembayaran dalam bentuk wang tunai kepada 1Malaysia Development Berhad bagi pengambilalihan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd pada 14 Februari 2012.

Menerusi jawapan bertulis kepada Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baru), Kementerian Kewangan berkata bayaran itu dibuat melalui 'dividen in specie' oleh 1MDB.

"Mekanisme pindah milik dilaksanakan melalui 'dividen in specie' oleh 1MDB yang membayar dividen kepada Kementerian Kewangan dalam bentuk pegangan 100 peratus saham ekuiti SRC berjumlah RM1 juta.

"Oleh yang demikian, kementerian tidak membuat pembayaran tunai untuk pengambilalihan tersebut," kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu Kementerian Kewangan berkata, bekas anak syarikat 1MDB itu tidak menanggung sebarang hutang tambahan mengikut penyata kewangan yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Mac 2014.

"SRC akan mengemukakan liabiliti atau hutang terkini setelah penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 diaudit," kata kementerian itu.

1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain