suria

Kelewatan Projek Langat 2 Jejas Bekalan Air Lima Juta Penduduk

KUALA NERANG: Lebih lima juta penduduk di sekitar Lembah Klang dan Selangor akan terjejas serta berdepan catuan air sekiranya kerajaan Selangor berterusan melengah-lengahkan perjanjian Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (Projek LRAL2).

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jumlah itu meliputi dua juta akaun pengguna air, melibatkan domestik dan komersial.

Katanya pada masa kini simpanan air mentah yang ada di Selangor adalah 75 peratus, dan jika digunakan setiap hari tanpa tambahan air hujan, simpanan akan akan berkurangan.

"Tapi kalau boleh selesaikan pemindahan air dari Pahang ke Selangor, projek ini boleh siap, ini tak ada masalah," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Justeru beliau berharap kerajaan Selangor boleh menyelesaikan isu ini dalam jangka masa yang telah ditetap, dan meminta kerajaan Selangor bersetuju dengan cadangan dari kerajaan pusat.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kelewatan kerajaan Selangor menguatkuasakan perjanjian penstrukturan air Selangor menyebabkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (Projek LRAL2) berkemungkinan besar tidak mampu disiapkan pada 2017 seperti yang dirancang.

Maximus berkata projek itu dijangka hanya dapat disiapkan sepenuhnya pada 2019 sekiranya kerajaan negeri itu bersetuju membenarkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan semua kelulusan dan permit bagi pembinaan loji itu dalam masa terdekat.

Langat 2, Kuala Nerang

Artikel Lain