suria

Kisah Pendaki Australia Mungkin 'Dikaburi' Pengalaman Trauma - MKN

Vee Jin Dumlao
PETALING JAYA: Kisah pendaki Australia berkaitan gempa bumi di Sabah dan kritikannya terhadap usaha menyelamat rasmi yang telah menjadi viral mungkin telah dikaburi oleh pengalaman traumanya , kata Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di laman web MKN pada Khamis, Mohamed Thajudeen menafikan dakwaan Vee Jin Dumlao bahawa tidak ada helikopter datang untuk menyelamatkan pendaki-pendaki yang terdampar di puncak Gunung Kinabalu selepas batuan jatuh disebabkan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter Jumaat lepas.

"Dari tempat di mana Ms Dumlao berdiri ketika itu, langit mungkin kelihatan jelas. Dia berada di puncak gunung. Bagaimanapun, di bawah puncak gunung langit tidak jelas, ia telah diliputi lapisan awan tebal yang tidak dapat ditembusi. Helikopter telah dihantar seperti yang dijanjikan, yang pertama pada pukul 12.02 tengahari, tetapi helikopter tidak dapat menembusi awan. Dua kali helikopter membuat percubaan. Kedua-dua kali mereka gagal, "katanya.

Mohamed Thajudeen berkata apabila helikopter akhirnya berjaya menembusi litupan awan, mereka tidak dapat mendarat dengan selamat tanpa membahayakan mereka yang sedang berada di puncak Gunung Kinabalu.

"Langkah terakhir mereka adalah menggugurkan makanan dan bekalan. Tetapi, kerana cuaca yang tidak mengizinkan, angin kencang telah meniupkan pek ke kawasan yang tidak boleh diakses. Ms Dumlao percaya ini dilakukan dengan sengaja. Niat juruterbang jelas untuk menggugurkan bekalan kepada pendaki, bagaimanapun, disebabkan oleh cuaca, bekalan ditiupkan ke dalam gaung," katanya.

Mohamed Thajudeen juga mencabar pandangan Dumlao bahawa kerajaan Malaysia bertekad untuk meninggalkan para pendaki di Gunung Kinabalu, dengan mengatakan bahawa 'tuduhan yang tidak adil'  seperti itu harus diperjelaskan dan menambah Dumlao mungkin tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku disebabkan oleh trauma yang dilaluinya.

Beliau berkata pasukan penyelamat telah dihantar dalam tiga kumpulan  iaitu pada pukul 9.30 pagi, kedua pukul 1.35 tengahari, dan yang ketiga pada pukul 3.30 petang.

"Pasukan pertama sampai di KM6.5, mereka bertemu dengan sekumpulan pendaki yang cedera dan membawa kumpulan itu ke kem Laban Rata. Apabila dua pasukan yang lain sampai ke Laban Rata mereka dinasihatkan oleh pemandu untuk tidak naik lagi. Batuan yang jatuh dan perubahan landskap gunung itu akan membuatkan Gunung Kinabalu tempat berbahaya didaki dalam gelap, " katanya.

Mohamed Thajudeen turut mencabar dakwaan Dumlao bahawa lebih ramai orang dapat diselamatkan jika penyelamat melakukan tugas-tugas mereka dan helikopter tiba tepat pada masanya.

"Saya tidak menyangkal pandangan beliau dan saya tidak membantah. Walau bagaimanapun, dari laporan hospital yang kita diterima berkaitan bedah siasat seorang mangsa, mereka mati mengejut. Sekali lagi, andaian Miss Dumlao tidak betul," kata Mohamed Thajudeen.

Dumlao, seorang warga Australia telah mengkritik usaha menyelamat berikutan gempa bumi yang berlaku, mengatakan bahawa mereka dibiarkan terkandas sehingga mereka memutuskan untuk menuruni gunung dalam keadaan bahaya.

Dia juga berkata bahawa pemandu gunung melakukan hampir semua usaha menyelamat terhadap pendaki terkandas.

Mohamed Thajudeen berkata beliau memahami keadaan Dumlao yang kecewa dan kritikan terhadap usaha menyelamat rasmi.

Tambahnya, yang mengucapkan terima kasih kepada Dumlao di atas pengiktirafan beliau terhadap usaha malim gunung, penyelamat kerajaan juga layak diberi pujian dan pengiktirafan.

"Saya faham akan hakikat bahawa Ms Dumlao di bawah keadaan yang berbeza, maka dia tidak menyedari usaha mereka, kerana dia dibantu pemandu gunung yang melakukan tugasnya. Walau bagaimanapun, bagi mangsa-mangsa yang lain seperti Encik Rahimi Hadzri, penyelamat diberi pengiktirafan yang sewajarnya, " kata Mohamed Thajudeen.

Mohamed Thajudeen berkata Rahimi diselamatkan oleh pasukan penyelamat kerajaan dan telah memuji mereka atas kecekapan mereka dan mengakui bahawa mereka telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan orang-orang yang terkandas di atas gunung.

"Hakikat yang tidak boleh dipertikaikan ialah pasukan penyelamat dan malim gunung bekerja bersama-sama untuk menyelamatkan pendaki yang terkandas. Cerita daripada kedua-dua pihak telah menunjukkan bahawa penyelamat, sama ada kerajaan atau bukan kerajaan, telah membuktikan bahawa mereka adalah berpengalaman, bertanggungjawab dan komited terhadap tugas mereka, "katanya.

Artikel Lain