KOTA BHARU: Mayat seorang bayi perempuan ditemui di dalam mesin basuh di sebuah rumah di Kampung Bukit Lakota, Jeli awal pagi Jumaat. Penemuan mayat itu adalah hasil pengakuan seorang suspek berusia 23 tahun ketika dia mendapatkan rawatan selepas bersalin di Hospital Jeli. Ketua Polis Daerah Jeli, DSP Mohd Yusoff Jaafar berkata, bayi berkenaan ditemui anggota polis pada pukul 2.55 pagi setelah seorang jururawat membuat aduan. "Suspek juga membuat pengakuan kepada doktor yang dia telah melahirkan bayi dan meletakkan bayi itu di dalam mesin basuh di rumahnya kerana menganggap bayi itu telah meninggal dunia," katanya kepada Bernama. Beliau berkata, suspek kini dirawat di Hospital Tanah Merah. Mohd Yusoff berkata, kes disiasat kerana menyembunyikan kelahiran.