suria

Malaysia, Jerman Berusaha Tangani Isu Pendatang Asing

Anifah Aman

PUTRAJAYA: Malaysia dan Jerman yang secara langsung menerima kesan daripada kemasukan pendatang asing dan pendatang tanpa izin, sedang melakukan usaha untuk menangani isu ini daripada puncanya dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terbabit.

Ini antara isu utama yang disentuh semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatan Jerman Dr Frank-Walter Steinmeier bersempena kunjungan Anifah di Berlin pada 10 Jun.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Anifah juga mengambil peluang untuk memberi penerangan kepada Steinmeier mengenai uasha yang dilaksanakan Malaysia untuk menangani isu itu, termasuk mengadakan perjumpaan dengan rakan-rakan sejawatan dari Indonesia dan Thailand, serta melawat Myanmar.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri berkongsi kebimbangan mengenai penyebaran ideologi ekstrem seperti militan IS terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Perbincangan juga menyentuh usaha bagi proses perdamaian Israel-Palestin.Menurut kenyataan itu, Anifah mengulangi harapan Malaysia untuk suatu penyelesaian muktamad, saksama dan menyeluruh yang menyaksikan Israel dan Palestin tinggal bersebelahan dalam keadaan aman dalam lingkungan sempadan yang telah ditentukan selamat dan diiktiraf berdasarkan pelan damai dan resolusi yang berkaitan Majlis Keselamatan PBB.

Anifah turut mengakui usaha Jerman untuk mempercepat proses itu, termasuk lawatan Steinmeier baru-baru ini di Gaza, Baitulmaqdis dan Ramallah pada 30 Mei.

Kenyataan Wisma Putra itu juga menyebut bahawa kedua-dua menteri bersetuju akan keperluan untuk meningkatkan hubungan dua hala pada masa depan termasuk perdagangan dan pelaburan dua hala kedua-dua negara.-- Bernama

Jerman, Anifah Aman

Artikel Berikut

Artikel Lain