KUNDASANG: "Kami bekerjasama. Saya cukup 'respect' (hormat) ... kami semua (malim gunung) juga berterima kasih kerana mereka membenarkan kami menggunakan peralatan milik mereka. "Kami berjaya menyelamatkan 137 pendaki terkandas di puncak gunung," demikian kata seorang malim Gunung Kinabalu tentang peranan agensi dan pasukan penyelamat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) dalam kejadian gempa bumi pada 5 Jun lepas. Lawrence Gopog, 43, berkata pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa agensi penyelamat lain membantu malim dalam misi itu. Katanya, pasukan dan agensi penyelamat memiliki kelengkapan alat yang cukup namun mereka perlukan bantuan malim gunung yang lebih mengetahui selok belok di gunung. "Berbanding dengan kakitangan agensi penyelamat mereka juga mahir (dalam soal menyelamat) tetapi bukan (selok-belok) di gunung ... tetapi mereka berusaha membantu," katanya ketika ditemui Bernama di sini. Beliau berkata mereka juga memastikan kesemua mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu dibawa turun dari gunung tertinggi di Asia Tenggara itu. Lawrence yang juga bekas tentera dan berasal daripada kampung Bundu Tuhan, merupakan antara 30 malim terawal berkumpul di Timpohon Gate untuk bersiap sedia dalam misi mencari dan menyelamat pendaki yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu. Tragedi gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter di Ranau pada 5 Jun lepas meragut 18 nyawa membabitkan sembilan warga Singapura, enam warga Malaysia, masing-masing seorang dari Jepun dan China dan seorang warga Filipina merupakan penduduk tetap Singapura. Dalam pada itu, Lawrence turut berterima kasih kepada kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang akan menyumbang 100 unit walkie-talkie untuk kegunaan malim gunung di masa hadapan. "Sebelum ini, kami guna telefon sendiri untuk berkomunikasi sesama sendiri, dan penyaluran 100 walkie-talkie ini merupakan satu perkara baik yang dinantikan," katanya. Sementara itu, Jonathan Nius, 21, yang fotonya menyelamatkan seorang pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) dalam kejadian gempa bumi itu menjadi viral di laman sosial, menjelaskan beliau bukan malim gunung sebaliknya seorang pekerja di Laban Rata, Gunung Kinabalu. Beliau berkata keadaan pada pagi itu cukup kelam kabut apabila kawasan di Laban Rata bergegar kuat. Menceritakan keadaan ketika itu, pemuda itu berkata sewaktu berlari menyelamatkan diri bersama-sama pekerja yang lain, dia terserempak dengan pelajar itu, Hana Kim Santiago yang cedera di kaki. "Saya membalut pergelangan kakinya yang cedera teruk sebelum memikul pelajar itu di belakang saya dan terus turun ke bawah, pada waktu itu saya hanya berharap kami semua selamat," katanya.